Berita dan Foto : Ihsan Asri Hussin, PTE Sengkurong
SENGKURONG, Khamis, 16 Julai. - Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) menganjurkan Pertandingan Lukisan Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai tanda penghargaan serta bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Pertandingan yang terbuka kepada pelajar Pra-U Enam Atas dan Enam Bawah itu mendapat penyertaan yang menggalakkan. Program berkenaan diungkayahkan oleh Jabatan Art & Design PTES dengan sokongan Unit Perpustakaan PTES serta Rumah Sukan Seri Mahkota.
Penganjuran pertandingan tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan penghargaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui medium seni visual. Di samping itu, ia turut memperkasakan kreativiti, bakat dan kemahiran pelajar dalam bidang seni lukis, khususnya seni potret.
Program berkenaan juga menjadi platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat masing-masing, sekali gus menyemai budaya berkarya dalam persekitaran sekolah yang kreatif serta memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran, ekspresi seni dan penghayatan budaya.
Bagi memastikan proses penghakiman dijalankan secara profesional dan telus, hasil karya para peserta dinilai oleh hakim jemputan daripada Creative Space Gallery Brunei, Awang Haji Osman bin Haji Muhammad, berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya persamaan rupa dan ekspresi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kemahiran teknikal serta penguasaan media, komposisi dan impak visual, selain kualiti keseluruhan karya.
Awang Muhammad Syafiq Aiman bin Rosmadi muncul sebagai johan menerusi karya bertajuk ‘Raja Berdaulat’ yang menampilkan kehalusan teknik penghasilan potret serta menggambarkan semangat patriotisme dan penghormatan yang tinggi terhadap raja.
Menurutnya, lebih 50 jam diperuntukkan bagi menyiapkan karya tersebut.
“Dengan menyertai pertandingan ini, saya berpeluang mengembangkan bakat dan kreativiti di samping memperoleh pengalaman yang amat berharga. Pertandingan ini juga telah meningkatkan keyakinan saya dalam menghasilkan karya seni yang lebih bermakna. Kemenangan ini tidak mungkin saya capai tanpa sokongan dan dorongan daripada ibu bapa serta bimbingan guru-guru saya,” katanya.
Tempat kedua dimenangi oleh Dayang Esther Elisha binti Jechonia, manakala Dayang Siti Nurhasmah Rabiatul binti Muhammad Zulkamal menduduki tempat ketiga.
Hasil karya para pemenang kini dipamerkan di Perpustakaan PTES bersempena pameran tahunan perpustakaan yang mengetengahkan koleksi buku dan penerbitan mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia, termasuk koleksi Dirgahayu.
Majlis penyampaian hadiah dan sijil penghargaan telah disempurnakan oleh Pengetua PTES, Dayang Tutty Hyrneeita binti Haji Abd. Latip. Majlis turut diserikan dengan Bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80.
Penganjuran program seumpama ini diharap akan terus dilaksanakan pada masa hadapan sebagai wadah membentuk jati diri pelajar melalui ekspresi seni, di samping menyemai rasa cinta, taat setia dan penghargaan terhadap raja, agama dan negara. Pertandingan tersebut turut membuktikan bahawa seni bukan sekadar wadah ekspresi kreatif, malah medium berkesan dalam memupuk nilai kenegaraan, identiti nasional dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
