Memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat

5 Og 2026 - 7:02am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. – Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SMYSHHB) secara rasminya melancarkan Program Hidroponik sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sekolah Hijau.

Ia turut mencerminkan komitmen sekolah dalam menyediakan pembelajaran berasaskan pengalaman yang bermakna, memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran penting abad ke-21 selaras dengan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21), Kementerian Pendidikan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan program yang berlangsung di sekolah berkenaan, Penolong Pengarah Urusan, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Sosial, Awang Iswandy bin Ahmad.

Juga hadir, wakil daripada agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), para guru, pelajar serta warga sekolah.

Pada acara berkenaan, tetamu kehormat majlis juga menyertai aktiviti penanaman hidroponik sebagai tanda bermulanya pelaksanaan projek berkenaan.

Program hidroponik berkenaan menyokong matlamat SPN21 dalam menyediakan pendidikan yang holistik dan relevan dengan memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal dalam bidang pertanian tanpa tanah, keselamatan makanan dan pemuliharaan alam sekitar.

Program berkenaan juga membantu membangunkan kemahiran penting seperti pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, kerjasama, penyelesaian masalah serta membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Kemahiran-kemahiran berkenaan menyumbang kepada pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar pada masa hadapan.

Majlis pelancaran turut diisikan dengan penyertaan reruai pendidikan daripada Kawan Bumi, Poni Foundation, Green Space dan Science, Technology and Environment Partnership  (STEP) Centre yang berkongsi visi yang sama dalam mempromosi kelestarian alam sekitar serta projek-projek hijau.

Reruai-reruai berkenaan mempamerkan pelbagai inisiatif kelestarian, amalan mesra alam dan program komuniti, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menghubungkan pembelajaran di bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar.

SMYSHHB berharap Program Hidroponik berkenaan akan menjadi platform pendidikan jangka panjang yang dapat melahirkan pelajar yang inovatif, bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekitar.

Melalui pembelajaran secara praktikal dan kerjasama komuniti, inisiatif berkenaan menyokong hasrat SPN21 untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan bersedia menyumbang secara bermakna kepada pembangunan sosial dan ekonomi Negara Brunei Darussalam.

Program berkenaan juga mencerminkan komitmen sekolah terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan berkualiti, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, tindakan terhadap perubahan iklim serta komuniti yang mampan.

Melalui inisiatif berkenaan, SMYSHHB terus memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat, inovasi, kerjasama dan pemeliharaan alam sekitar secara bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah serta masyarakat secara keseluruhannya.