Memperkukuh hubungan silaturahim menerusi pengisian keagamaan, aktiviti masyarakat

12 Okt 2026 - 6:05am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Azmah Haji Ahad

KAMPUNG MERANGKING, Ahad, 11 Oktober. - Semangat ukhuwah, kerjasama dan kecintaan terhadap warisan budaya tempatan jelas terserlah menerusi Program Ziarah Mahabah Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi anjuran Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Bandar Seri Begawan, yang berlangsung di Balai Ibadat Kampung Merangking.

Program berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan penduduk kampung, malah turut membuka ruang bagi memperkukuh hubungan bersama saudara-saudara baharu di Kampung Merangking menerusi pengisian keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat.

Antara pengisian utama program ialah bengkel keagamaan yang memberikan penekanan kepada pembelajaran asas Islam, termasuk bacaan Surah Al-Fatihah, bimbingan memperbetulkan bacaan dan tatacara menunaikan sembahyang serta pengukuhan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Pengisian tersebut turut diserikan dengan kuiz keagamaan yang memberikan peluang kepada para peserta untuk menguji pengetahuan, di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.

Keunikan program turut terserlah melalui demonstrasi penyediaan masakan tradisional masyarakat Kampung Merangking, antaranya masak ayam dalam buluh, membuat kelupis kampung dan memasak umbut luba.

Demonstrasi berkenaan bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian cita rasa masakan tradisional, malah mengetengahkan nilai warisan dan identiti masyarakat kampung yang terus dipelihara agar tidak luput ditelan zaman.

Selain itu, aktiviti jualan di Tamu Jati turut memeriahkan program dengan memperkenalkan hasil jualan dan produk tempatan kepada rombongan serta para pengunjung. Inisiatif tersebut turut memberikan gambaran mengenai kehidupan masyarakat setempat yang kaya dengan tradisi, semangat berdikari dan budaya saling menyokong.

Program diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah bersama rombongan dan penduduk kampung, sekali gus menyempurnakan pertemuan yang sarat dengan nilai keagamaan, kemesraan dan semangat kebersamaan.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Merangking berharap agar program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan golongan belia, bagi menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kampung berkenaan.

Beliau turut berharap agar hubungan silaturahim yang terjalin, semangat keprihatinan serta sokongan terhadap saudara-saudara baharu akan terus diperkukuh melalui program yang mendekatkan masyarakat kepada penghayatan agama dan amalan hidup bermasyarakat.

Kerjasama erat antara pihak sekolah, kepimpinan kampung dan penduduk setempat mencerminkan kepentingan semangat muafakat dalam membina masyarakat yang harmoni, prihatin dan saling membantu.

Melalui program seumpama ini, diharapkan jalinan ukhuwah akan terus mekar, penghayatan Islam semakin diperkukuh dan warisan budaya tempatan terus dihargai oleh generasi kini dan akan datang.