Oleh : Noraisah Haji Muhammed
Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Ahad, 11 Oktober. - Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik, Kumpulan Bekas Pelajar dan Mantan Guru-guru Sekolah Melayu Muhammad Alam Seria mengadakan Sambutan Hari Guru Kali Ke-5 bagi Tahun 2026, yang menghimpunkan lebih 50 orang bekas pelajar dan mantan guru sekolah berkenaan.
Sambutan yang berlangsung di Fresh Air Restaurant, Lumut, Daerah Belait itu bertujuan mengenang jasa para guru yang telah mendidik, membimbing dan membentuk generasi, di samping menghargai sumbangan mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim serta menyemai semula jalinan kasih antara bekas guru dan pelajar.
Dalam temu bual bersama Pengerusi Majlis, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Gani, beliau menegaskan bahawa jasa dan bakti para guru dalam mendidik anak bangsa tidak ternilai dengan wang ringgit, meskipun zaman terus berubah dan sistem pendidikan mengalami pelbagai perkembangan.
“Penat lelah bersama pelbagai cabaran dan perubahan sistem pendidikan, namun para mantan guru sekalian telah menjadi asas serta teras yang kukuh kepada pembangunan modal insan di Negara Brunei Darussalam.
“Para mantan yang tidak pernah jemu menjadi cahaya dalam mencari arah bukan saja dibuku namun membentuk siapa setiap insan hari ini melalui setiap huruf yang diajarkan menjadi amal jariah yang mengalir berterusan,” ujarnya.
Sambutan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji bersama setiausaha dan beberapa ahli persatuan berkenaan.