Pupuk rasa cinta, penghargaan terhadap warisan Islam di NBD

12 Okt 2026 - 7:05am

Siaran Akhbar dan Foto : Kumpulan Syababurroja’, Belia Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 11 Oktober. - Usaha memperkasa pengetahuan dan penghayatan terhadap warisan Islam di Negara Brunei Darussalam menjadi tumpuan Program Kenali Negara Kitani bertemakan ‘Menyelusuri Khazanah Islam Brunei’ yang dianjurkan oleh Kumpulan Syababurroja’, Belia Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Program berkenaan disertai seramai 64 peserta yang terdiri daripada ahli Belia Syababurroja’, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah serta Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah dan khazanah Islam di negara ini melalui gabungan sesi ceramah dan lawatan sambil belajar.

Pendekatan ini diharap dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, di samping meningkatkan penghayatan terhadap warisan Islam yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti negara.

Program dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk ‘Menelusuri Khazanah Islam’ yang disampaikan oleh Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani.

Sesi tersebut memberikan ruang kepada para peserta untuk menimba ilmu dan menambah pengetahuan mengenai sejarah Islam sebagai persediaan sebelum lawatan.

Seterusnya, para peserta bertolak ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi mengikuti lawatan sambil belajar yang bermula pada jam 9.30 pagi.

Lawatan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk melihat dan menghayati khazanah Islam secara lebih dekat, sekali gus menghubungkan ilmu yang diperoleh melalui sesi ceramah dengan pengalaman pembelajaran secara langsung.

Penganjuran program ini bertujuan memupuk rasa cinta dan penghargaan terhadap sejarah, warisan serta khazanah Islam. Selain itu, program ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama antara golongan belia, Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah melalui penglibatan bersama dalam aktiviti yang berunsurkan ilmu dan keagamaan melalui pendekatan sejarah.

Melalui program seumpama ini, para peserta diharap dapat meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap Islam, di samping menyedari kepentingan memelihara serta menghargai khazanah yang mempunyai nilai sejarah dan keagamaan.

Program ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti bermanfaat anjuran masjid, sekali gus menyokong usaha membentuk generasi belia yang berilmu, berakhlak mulia dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap agama serta negara.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, penceramah serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini.

Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembelajaran, pengukuhan ukhuwah dan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan.