Pendekatan dalam membina kekuatan diri

12 Okt 2026 - 7:11am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Pusat Da’wah Islamiah

PULAIE, Ahad, 11 Oktober. - Kepentingan mengurus emosi, menghadapi realiti kehidupan, melepaskan diri daripada kebergantungan terhadap perkara-perkara di luar kawalan seterusnya memperkukuh kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai sumber kekuatan menjadi fokus utama Program ‘Ilm Series Ke-26 yang dianjurkan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Program yang membawa tema ‘Rohani, Emosi dan Realiti dalam Membina Ketahanan Jiwa (Resilience)’ itu diadakan bersempena dengan Bulan Kesihatan Mental dan mengetengahkan konsep Detach to Attach sebagai pendekatan dalam membina kekuatan diri ketika menghadapi cabaran kehidupan.

Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pegawai Ugama Kanan, PDI, KHEU, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.

Menerusi konsep berkenaan, para peserta didedahkan kepada kepentingan melepaskan kebergantungan terhadap perkara di luar kawalan, bukan sebagai tanda menyerah kalah, tetapi sebagai langkah membina ketahanan diri, di samping mengukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala melalui usaha, kesabaran dan tawakal.

Pengisian program turut menumpukan kepada pengukuhan rohani, pengurusan emosi serta kesediaan menghadapi realiti dan cabaran kehidupan. Kisah Maryam ‘Alaihassalam dan keluarga ‘Imran juga diketengahkan sebagai teladan dalam memupuk kesabaran, ketabahan, tawakal dan kekuatan jiwa.

Program berkenaan menampilkan tiga panelis daripada bidang keagamaan, kesihatan dan keselamatan bagi memberikan perspektif yang menyeluruh mengenai ketahanan jiwa.

Mewakili bidang keagamaan, Da’ie, PDI, Dayang Siti Noraini binti Haji Mohd. Hashim, menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Hati Yang Diuji, Jiwa Yang Dikuatkan : Kisah Maryam ‘Alaihassalam’.

Sementara itu, Ketua Bahagian Latihan dan Pusat Sumber, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Irnawati binti Haji Mahir, membawakan tajuk ‘Memahami Kesihatan Mental, Emosi dan Resilience’.

Manakala berkongsi dalam bidang keselamatan ialah Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Muhd Nurfairuz Nazri bin Salleh yang menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Di Sebalik Kes : Realiti, Risiko dan Pilihan’.

Ketiga-tiga perkongsian disampaikan dalam format TED Talk atau bicara inspirasi, diikuti dengan sesi interaktif bersama panelis yang memberi peluang kepada peserta untuk melakukan refleksi kendiri, mendalami konsep ketahanan jiwa serta memahami cara menerapkannya dalam kehidupan seharian.

Selain pengisian utama, aktiviti jualan oleh Ahli Jawatankuasa Belia Da’ie dan PDI turut diadakan sebagai aktiviti sampingan.

Program berkenaan dihadiri seramai 110 peserta yang terdiri daripada asatizah, pegawai kerajaan, pesara, golongan belia, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan mahasiswi universiti, alumni Akademi Dakwah serta orang awam.

Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya memelihara kesihatan mental, membina ketahanan jiwa dan memperkukuh hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala dalam mendepani pelbagai cabaran kehidupan.