Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR GUIYANG, WILAYAH GUIZHOU, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 30 Julai. - Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menghadiri Minggu Kerjasama Pendidikan China- ASEAN 2026 (China-ASEAN Education Cooperation Week-CAECW), yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai 2026 di Bandar Guiyang, Wilayah Guizhou, Republik Rakyat China.
Minggu kerjasama yang diadakan di bawah tema 'Memanfaatkan Pendidikan Pintar, Membina Tanah Air yang Harmoni' berkenaan merupakan sebuah platform pelbagai hala yang penting bagi memperkukuh pertukaran pendidikan, sinergi latihan vokasional, transformasi digital serta kerjasama kebudayaan antara Republik Rakyat China dan Negara-negara Anggota ASEAN.
Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Rakyat Wilayah Guizhou, Republik Rakyat China, dan menghimpunkan wakil-wakil di peringkat menteri, pegawai kanan kerajaan, ahli akademik dan lebih daripada 450 orang delegasi tempatan dan antarabangsa.
Berikutan Majlis Pembukaan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah menghadiri Dialog Menteri-menteri Pendidikan China-ASEAN yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ren Youqun.
Dialog berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pembelajaran digital, pertukaran akademik, serta memperkukuh hubungan sesama rakyat di peringkat serantau.
Semasa sesi berkenaan, Yang Berhormat telah berkongsi inisiatif pendidikan digital NBD serta menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi bagi membangunkan sistem pendidikan yang inklusif, berteraskan nilai dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Sebelum menghadiri acara CAECW 2026, Yang Berhormat bersama delegasi Kementerian Pendidikan NBD telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Yidu Tech di Beijing, bagi meninjau dengan lebih lanjut penyelesaian digital berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan, di samping meneroka potensi kerjasama dalam memperkasa transformasi digital dan aplikasi AI dalam bidang pendidikan.
Turut mengiringi Yang Berhormat, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, NBD.