Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Sabtu, 31 Oktober. - Sebagai salah satu pengisian utama Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, Tahun 2026, Forum Khas Perkhidmatan Awam 2026 telah berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Mengangkat tema 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Inspirasi Raja Dijulang', forum ini mengetengahkan peranan Perkhidmatan Awam dalam menjunjung aspirasi dan kepimpinan raja melalui pemerkasaan tadbir urus, peningkatan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan perubahan transformatif ke arah Perkhidmatan Awam yang lebih progresif, tangkas dan responsif terhadap keperluan serta cabaran masa hadapan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Forum ini mendukung tema Sambutan HPA Ke-33, Tahun 2026 iaitu 'Menjulang Kepimpinan dan Kedaulatan Raja : Memacu Perkhidmatan Awam Yang Transformatif', yang mencerminkan kepimpinan dan wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) serta Wawasan Brunei 2035.
Forum ini turut menyediakan platform dialog dan pertukaran pandangan mengenai kepimpinan, tadbir urus yang baik, pendigitalan, inovasi dan pembangunan keupayaan sebagai pemacu utama transformasi Perkhidmatan Awam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Terdahulu, forum dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin antara lain menekankan, dalam konteks forum ini, 'Inspirasi Raja Dijulang' mencerminkan tanggungjawab Perkhidmatan Awam dalam menjunjung serta merealisasikan wawasan, panduan dan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Kepimpinan baginda, jelasnya, terus menjadi panduan serta asas dalam pentadbiran awam, manakala Perkhidmatan Awam memainkan peranan penting dalam menterjemahkan wawasan tersebut kepada dasar, program dan tindakan yang berkhidmat demi kepentingan negara serta rakyatnya.
"Dalam titah Kebawah DYMM pada Khamis, sempena Sambutan HPA Ke-33, baginda mengingatkan bahawa seiring dengan perubahan zaman, cabaran yang dihadapi juga turut berubah, begitu juga dengan cara kita memberikan perkhidmatan.
"Baginda turut menegaskan bahawa perubahan tersebut bukanlah tanda kelemahan dalam sistem sedia ada, sebaliknya merupakan bukti kematangan sesebuah negara dalam menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa mengabaikan prinsip-prinsip asasnya.
"Mesej ini menjadi asas kepada forum yang diadakan pada hari ini. Transformasi Perkhidmatan Awam memerlukan usaha yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam. Usaha-usaha ini hendaklah sentiasa berlandaskan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan NBD," tambahnya.
Menurut beliau, kepimpinan yang berkesan, tadbir urus yang mantap dan budaya kerja yang kukuh merupakan asas kepada transformasi yang bermakna. Teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), mampu memperkukuh keupayaan, meningkatkan mutu pembuatan keputusan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan. Namun demikian, perkara ini hanya dapat dicapai apabila disokong oleh kepimpinan yang jelas, langkah-langkah perlindungan yang bersesuaian serta pertimbangan yang bijaksana.
Ketiga-tiga elemen ini, terangnya, tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Teknologi tanpa kepimpinan boleh menimbulkan kekeliruan, manakala tadbir urus tanpa budaya kerja yang betul tidak akan menghasilkan keputusan yang bermakna. Selain itu, kecerdasan buatan, walau sehebat mana sekalipun keupayaannya, tidak akan dapat menggantikan pertimbangan, tanggungjawab dan sifat amanah seseorang pegawai Perkhidmatan Awam.
Ujarnya, secara keseluruhan, kejayaan transformasi Perkhidmatan Awam akan dinilai berdasarkan peningkatan nyata dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, pengukuhan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan serta sumbangan bersama kita dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Forum seterusnya diikuti dengan ucaptama daripada President of the Singapore Chapter and Global AI Ambassador Singapore, Republik Singapura, Looi Teck Kheong bertajuk 'Beyond Automation : AI as the Catalyst for a Trusted and Transformed Public Service'.
Forum diteruskan dengan perbincangan panel yang dikendalikan oleh Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan menampilkan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong; Looi Teck Kheong dan Profesor Emeritus Dato' Seri Dr. Ir. Zaini bin Ujang dari Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia.
Perbincangan mengetengahkan pendekatan, amalan terbaik dan strategi bagi memperkukuh tadbir urus dan kepimpinan, memajukan pendigitalan dan inovasi serta memupuk budaya organisasi berprestasi tinggi.
Forum juga menekankan kepentingan pembelajaran berterusan, pembangunan kompetensi dan kerjasama rentas agensi dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Forum ini dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan sektor kerajaan, serta wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pengajian tinggi.
Penganjuran forum ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ke arah membangunkan perkhidmatan awam yang transformatif, inovatif, tangkas dan berdaya tahan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.