Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, hari ini mengadakan Peringkat Akhir Kebangsaan Spelling Bee Sekolah-Sekolah bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan, Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat.
Pertandingan pada tahun ini dibukakan kepada murid-murid Tahun 4 dan Tahun 5 daripada sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Seramai 129 murid daripada 67 buah sekolah telah menyertai peringkat saringan. Daripada jumlah berkenaan, hanya enam peserta teratas bagi setiap tahun pengajian berjaya mara ke peringkat akhir.
Juara bagi Kategori Tahun 4 ialah Brayden Voon Jing dari Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan; manakala naib juara disandang oleh Awang Muhammad Adam Naufal bin Nurul Zulfadhli dari Sekolah Rendah Sengkurong; sementara tempat ketiga milik Awang Muhammad Iyyad Nawfal bin Mohammad Kamarussalehin dari Sekolah Rendah Kapok.
Bagi Kategori Tahun 5 pula, juara disandang oleh Dayang Nur Nayli Qaisara binti Mohamed Azri dari Chung Ching Middle School; manakala naib juara dimenangi oleh Dayang Farizaaliyah binti Abdul Aziz dari Sekolah Rendah Penanjong; sementara tempat ketiga milik Awang Ahmad Ilhan bin Shahriman dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pertandingan berkenaan bertujuan untuk memupuk literasi dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui pengukuhan asas bahasa, khususnya kemahiran mengeja.
Di samping itu, pertandingan tersebut berhasrat untuk memperkukuh kemahiran mengeja, meningkatkan kesiapsiagaan murid dalam pembelajaran melalui penguasaan bahasa Inggeris, serta membina keyakinan diri melalui pendedahan kepada aktiviti pengucapan awam.