Semai nilai ketaatan, kesetiaan kepada pemimpin

1 Nov 2026 - 6:32am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

TANAH JAMBU, Sabtu, 31 Oktober. - Bagi memupuk rasa kasih dan sayang sesama insan, serta meningkatkan kesedaran tentang peranan keluarga dan kepimpinan dalam membentuk masyarakat yang cemerlang, juga menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Tanah Jambu dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara serta Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Program Bicara An Nisa sempena Sambutan Hari Keluarga dan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Majlis yang berlangsung pagi tadi di Masjid Kampung Tanah Jambu itu turut menjadi wadah untuk menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, di samping memperkukuh kesedaran mengenai peranan keluarga dan kepimpinan dalam membentuk masyarakat yang sejahtera, harmoni dan cemerlang.

Penganjuran program berkenaan antara lain bertujuan menyemai nilai ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin, selain melahirkan golongan beliawanis yang berilmu, berwawasan serta berpotensi menjadi aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Mengangkat tema 'Hari Keluarga : World Mental Health Day - Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change', Bicara An Nisa kali ini memberikan tumpuan kepada isu 'Women and Depression'.

Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

Sesi bicara menampilkan dua ahli panel iaitu Penolong Profesor merangkap Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abd. Rahman serta Pegawai Psikologi di Bahagian Psikologi Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Dayang Hajah Rozailah binti Haji Abdul Rahman. Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Beliawanis Masjid, Dayang Nur Syahirah Najihah binti Haji Mahmood.

Melalui penganjuran program seumpama ini, para peserta berpeluang menimba ilmu, bertukar pandangan dan mendapatkan pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental, khususnya dalam kalangan wanita. Usaha ini juga diharap dapat memperkukuh peranan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera, penyayang dan berakhlak mulia.