Piala Canselor wadah melahirkan mahasiswa berilmu, berdaya saing

1 Nov 2026 - 6:38am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

GADONG, Sabtu, 31 Oktober. - Piala Canselor 2026 membuka tirainya hari ini menerusi Majlis Perasmian di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), menandakan bermulanya siri pertandingan sukan, keagamaan dan kebudayaan yang menghimpunkan penyertaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan perasmian berkenaan, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Turut hadir, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; dan Timbalan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Dr. Awang Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.

UNISSA menjadi tuan rumah Piala Canselor pada tahun ini meneruskan penganjuran terdahulu oleh UTB pada 2021 dan UBD pada 2024.

Kejohanan berkenaan dianjurkan melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar UNISSA (MPP PPUNISSA) Sesi 2026/2027 dengan kerjasama MPP UBD, UTB dan KUPU SB.

Piala Canselor bertujuan mempererat silaturahim antara IPT, memupuk semangat kesukanan dan persaingan sihat, serta membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan-aluan oleh Pengerusi Piala Canselor 2026, Awang  Ahmad Danieel bin Abdul Haniff, selaku Yang Dipertua Pelajar MPP PPUNISSA Sesi 2026/2027 antara lain menekankan bahawa Piala Canselor menjadi wadah untuk membentuk mahasiswa yang seimbang, berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kecemerlangan akademik perlu diiringi dengan nilai kepimpinan, semangat kerjasama dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan negara.

Sehubungan itu, Awang Ahmad Danieel menyeru kepada para peserta agar mengamalkan semangat kesukanan, mengutamakan adab dan sikap saling menghormati, serta memanfaatkan kejohanan untuk mempererat silaturahim antara mahasiswa.

Acara kemuncak majlis ialah perasmian Piala Canselor 2026 oleh tetamu kehormat majlis, disusuli lafaz Ikrar Kesukanan oleh wakil MPP IPT awam dan swasta sebagai tanda komitmen menjunjung semangat kesukanan sepanjang kejohanan.

Sejurus selepas perasmian, kejohanan dimulakan dengan Pertandingan Kawad Pasukan Beruniform yang dikendalikan oleh UNISSA. Pertandingan berkenaan disertai oleh Pasukan Kadet Tentera dari UBD, UNISSA, UTB, KUPU SB dan Politeknik Brunei (PB).

Pasukan Kadet Tentera PB muncul johan, manakala Pasukan Kadet Tentera UTB meraih naib johan, sementara Pasukan Kadet Tentera KUPU SB menduduki tempat ketiga.

Piala Canselor 2026 berkenaan menghimpunkan pelajar daripada 12 IPT awam dan swasta yang akan bersaing dalam 22 acara pertandingan. Kejohanan berkenaan dijadualkan berlangsung sehingga April 2027.