Memperkukuhkan usaha pencegahan, pengawalan melalui pendekatan menyeluruh

6 Og 2026 - 5:39am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) terus menjadi salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan memandangkan penyakit ini merupakan penyumbang terbesar kepada beban morbiditi dan mortaliti, di samping meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, kementerian kini sedang membangunkan BruMAP NCD-MH 2026-2035, dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pelan strategik jangka panjang bagi memperkukuh pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan demikian bagi menjawap mengenai langkah Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan kadar kematian akibat NCD serta peruntukan yang digunakan bagi menangani penyakit tersebut yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Menyentuh mengenai langkah mengurangkan kadar kematian akibat NCD, Yang Berhormat menjelaskan, pendekatan kementerian merangkumi keseluruhan kesinambungan penjagaan, iaitu pendidikan; pencegahan; pengesanan awal; rawatan; rehabilitasi; dan penjagaan berterusan.

Menurut Yang Berhormat, keutamaan turut diberikan kepada pendidikan dan promosi kesihatan di sekolah, tempat kerja dan komuniti; program saringan dan pengesanan awal; pengukuhan penjagaan kesihatan asasi; pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society; dan mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan hidup sihat.

"Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada pencegahan dan pengesanan awal kerana langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar kematian akibat NCD, malah dapat mengurangkan komplikasi penyakit, meningkatkan kualiti hidup pesakit serta mengurangkan keperluan rawatan yang lebih kompleks pada masa hadapan," ujar Yang Berhormat.

Di samping itu tambah Yang Berhormat, kementerian terus memperkukuh kapasiti sistem kesihatan melalui pengukuhan penjagaan kesihatan asasi; penyelarasan perkhidmatan saringan, pengurusan penyakit kronik, hospital dan perkhidmatan pakar; dan penggunaan data dan teknologi digital seperti BruHealth dan Bru-HIMS 2.0 bagi menyokong perancangan kapasiti dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Semasa mengongsikan mengenai peruntukan bagi menangani NCD, Yang Berhormat menjelaskan peruntukan berkaitan NCD meliputi pelbagai komponen perkhidmatan termasuk pendidikan; promosi kesihatan; pencegahan; saringan; ujian diagnostik; rawatan; ubat-ubatan; rehabilitasi; dan perkhidmatan pakar.

Oleh yang demikian tambah Yang Berhormat lagi, adalah sukar untuk mengasingkan secara khusus perbelanjaan bagi tujuan pencegahan dan rawatan memandangkan sebahagian besar program dan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara bersepadu serta menyokong kedua-dua aspek tersebut secara serentak.

Yang Berhormat menambah, ini termasuk pelaksanaan program saringan, penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi, rawatan susulan, pendidikan kesihatan, serta pengurusan penyakit kronik yang menyumbang secara serentak kepada usaha pencegahan, pengesanan awal, rawatan dan pengurusan penyakit.

Walau bagaimanapun jelas Yang Berhormat, kementerian berpandangan bahawa pelaburan dalam pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan penyakit yang berkesan merupakan langkah terbaik bagi mengurangkan komplikasi penyakit; mengurangkan kemasukan ke hospital; mengurangkan keperluan rawatan yang lebih kompleks; dan memastikan penggunaan sumber kesihatan yang lebih cekap serta mampan dalam jangka panjang.

"Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan usaha pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit melalui pendekatan yang menyeluruh, berasaskan bukti serta melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat.

"Matlamat kementerian adalah untuk mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan dalam memenuhi keperluan generasi masa kini dan akan datang," ujar Yang Berhormat lagi.