Memperluaskan penyampaian ilmu fardu kifayah kepada masyarakat

3 Og 2026 - 6:43am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Ar-Razaq Kifayah Management

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. – Dengan matlamat untuk terus meningkatkan kefahaman masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD) mengenai pengurusan jenazah mengikut syariat Islam, Ar-Razaq Kifayah Management dan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Jenazah Ke-30 : Pakaian di Alam Barzakh bertempat di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.

Bengkel yang dilaksanakan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari berkenaan juga bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat Islam di NBD tentang kepentingan melaksanakan tuntutan Fardu Kifayah dalam kehidupan bermasyarakat.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa berlangsungnya bengkel berkenaan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, JHEM, KHEU, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, yang turut menyaksikan perjalanan bengkel serta menyampaikan sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan masyarakat dalam bidang pengurusan jenazah.

Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti pelbagai pengisian yang menggabungkan teori dan amali. Antara pengisian yang disampaikan ialah ceramah teori mengenai pengurusan jenazah, demonstrasi tatacara pengurusan jenazah, amali memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazah.

Dalam pada itu, sesi soal jawab turut dimuatkan bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan mengenai pelbagai perkara berkaitan pengurusan jenazah.

Penganjuran bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Ar-Razaq Kifayah Management untuk memperluaskan penyampaian ilmu fardu kifayah kepada masyarakat.

Melalui pendekatan yang menekankan pembelajaran secara teori dan praktikal, peserta diharap dapat memahami setiap proses pengurusan jenazah dengan lebih jelas serta mempunyai keyakinan untuk membantu apabila diperlukan.

Ar-Razaq Kifayah Management merakamkan penghargaan kepada JHEM, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; para fasilitator, sukarelawan dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan penganjuran Bengkel Pengurusan Jenazah Ke-30.