Berita dan Foto : Muhammad Aiman Najib Hamzah
JERUDONG, Ahad, 2 Ogos. – Orang ramai berpeluang menyertai 'SimplySiti Firstlight Run Club, Chase The Firstlight' Fun Run bersama penyanyi terkenal dari Malaysia, iaitu Dato' Sri Siti Nurhaliza, yang diadakan di Jerudong Park Playground pada hari ini, sempena dengan Brunei Fitness Festival (BFF) 2026.
Berkenan berangkat menyertai fun run berkenaan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Acara larian komuniti sejauh 3 kilometer berkenaan telah berjaya menghimpunkan seramai 1,200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana santai dan penuh semangat, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan kemasyarakatan melalui aktiviti kecergasan.
Selain peluang berlari bersama komuniti, acara berkenaan turut memberi kesempatan kepada para peminat untuk bertemu dan menyaksikan sendiri kehadiran Dato' Sri Siti Nurhaliza yang melepaskan peserta larian, sekali gus menjadi antara tarikan utama festival berkenaan.
BFF 2026 yang berlangsung dari 29 Julai hingga 2 Ogos 2026 di BRIDEX Hall 2, Jerudong menampilkan pelbagai aktiviti kecergasan, sukan, kesihatan dan gaya hidup, melibatkan penyertaan atlet tempatan serta antarabangsa dalam usaha memupuk budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.