Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menegaskan bahawa dengan tempoh berbaki kurang daripada satu dekad menuju Wawasan Brunei 2035, setiap kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil atau silo.
Baginda, ujar Yang Berhormat, turut menekankan peranan Menteri-menteri Penyelaras sebagai penghubung utama dalam menyatukan usaha, keutamaan dan tindakan kerajaan ke arah matlamat yang sama.
“Sehubungan itu, kaola menyambut baik dan menyokong pelantikan ketiga-tiga Menteri Penyelaras. Pelantikan ini memberikan landasan yang lebih jelas bagi menangani isu-isu merentas kementerian dan merapatkan jurang pelaksanaan antara pihak-pihak yang berkaitan.
“Demi mendukung hasrat titah tersebut, kaola ingin mengemukakan beberapa cadangan yang diharapkan dapat mengukuhkan lagi penyelarasan dan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035. Terutama dalam menghubungkan tindakan pihak-pihak berkepentingan, mengenal pasti hambatan dan memastikan kemajuan pelaksanaan dapat dilihat secara menyeluruh.
“Ini tidak mengubah tanggungjawab kementerian dan agensi sedia ada. Sebaliknya, ia diharapkan dapat menyokong peranan Menteri-menteri Penyelaras dalam menyatukan usaha yang berkaitan supaya bergerak menuju hasil negara yang sama,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Dalam hal ini, kita perlu mengenal pasti hasil nasional (national outcome) yang utama untuk dicapai ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Yang Berhormat berpandangan ada lima hasil nasional yang kritikal iaitu Pertumbuhan Ekonomi, Pekerjaan, Pembasmian Kemiskinan, Keselamatan Makanan dan Keselamatan Tenaga.
Kejayaan kelima-lima hasil nasional ini, ujar Yang Berhormat, bergantung kepada lima proses iaitu mewujudkan kerangka hasil nasional; mempercepat kelulusan dan pelaksanaan projek; memperkukuh proses pemadanan dan penempatan; memberi tumpuan kepada kualiti dan ketahanan dan akhir sekali, mewujudkan National Wawasan Dashboard.
Sehubungan itu, Yang Berhormat membahaskan tiga hasil nasional tersebut iaitu pertama bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara, Yang Berhormat berpandangan bahawa semua dasar, program dan cadangan ekonomi yang pernah dikemukakan termasuk yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik perlu dinilai berdasarkan impak dan kebolehlaksanaannya.
Cadangan tersebut perlu dipetakan kepada satu kerangka hasil yang jelas, meliputi peningkatan produktiviti, pelaburan, eksport, perusahaan tempatan, pekerjaan berkualiti dan pendapatan.
Kerangka ini akan mengurangkan pertindihan pelan antara kementerian yang bertanggungjawab serta memastikan setiap kementerian bergerak selari ke arah hasil nasional yang sama.
Dalam konteks Pelaburan Langsung Asing atau FDI, jelas Yang Berhormat, semua proses berkaitan pelesenan, tanah, perancangan, utiliti dan tenaga kerja hendaklah dinilai semula, ditambah baik dan diselaraskan melalui satu mekanisme bersepadu.
“Bagi memastikan pelaksanaan yang efisien, seorang ketua projek hendaklah dilantik bagi setiap projek strategik, dengan garis masa dan saluran penyelesaian masalah yang jelas. Ketua projek tersebut perlu menyelaras tindakan kementerian dan agensi berkaitan sehingga projek benar-benar mula beroperasi.
“Kejayaan FDI hendaklah diukur berdasarkan nilai pelaburan yang benar-benar direalisasikan dan bilangan projek yang mula beroperasi, bukan hanya jumlah permohonan, kelulusan atau pelaburan yang diumumkan.
“Pendekatan ini akan memastikan FDI bukan sahaja meningkatkan jumlah pelaburan, tetapi turut menyumbang kepada produktiviti, eksport, pekerjaan berkualiti dan peningkatan pendapatan,” jelas Yang Berhormat.