MoU perkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan kehakiman

31 Og 2026 - 6:53am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

JERUDONG, Ahad, 30 Ogos. - Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam (NBD), yang diwakili oleh Unit Pendidikan dan Latihan Kehakiman (JET), dan Mahkamah Besar Republik Filipina yang diwakili oleh Philippine Judicial Academy  (PHILJA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan kehakiman.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pendaftar, Dayang Hajah Hazarena binti POKSJ DP Haji Hurairah bagi pihak Mahkamah Besar NBD dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Unit Pendidikan dan Latihan Kehakiman dan Canselor Edgardo L. Manakala, Delos Santos, bagi pihak Philippine Judicial Academy. 

Majlis penandatanganan berkenaan disaksikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar NBD, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong, dan Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo. Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan  tersebut ialah Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Dato Paduka Haji Abdullah Soefri bin POKSM DSP Haji Abidin, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLD Colonel (Bersara)  DSP  Haji  Kefli,  dan  Puan  Bernadette  A. Mendoza, Chargé d'Affaires Kedutaan Besar Republik Filipina. 

MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua Badan Kehakiman untuk terus  mempromosi  kerjasama  dalam  memajukan  pendidikan  kehakiman  dan memupuk pertukaran  profesional.  Melalui  MoU  tersebut,  kedua-dua Badan Kehakiman akan meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran kepakaran  dan  amalan  terbaik  dalam pendidikan  kehakiman,  aktiviti  latihan  dan pembinaan keupayaan, pembangunan dan perkongsian sumber pendidikan, program dan ikhtiar kolaboratif, serta peluang pertukaran profesional dan rangkaian.

Dalam  ucapan  alu-aluan,  Ketua  Hakim  mengatakan,  "MoU  ini memberikan rangka kerja dan kini merupakan giliran bagi institusi kita masing-masing, serta lebih penting, warga kerja kita, untuk menghidupkan rangka kerja berkenaan". Bahkan, Ketua Hakim juga berharap MoU tersebut akan membolehkan para hakim, pegawai  kehakiman  dan  kakitangan  mahkamah  dari  NBD  dan  Republik  Filipina  untuk  menyertai  program  satu  sama  lain,  di samping berkongsi pengalaman serta sumber pendidikan, membangunkan inisiatif bersama, dan menjalin hubungan persahabatan profesional. 

Majlis Penandatanganan tersebut menandakan satu langkah yang penting dalam perkembangan kerjasama kehakiman dua hala di antara NBD dan Republik Filipina, serta menyediakan asas bagi hubungan lanjut antara kedua-dua Badan Kehakiman pada tahun-tahun mendatang.

 Ini  merupakan  memorandum  keenam  yang  ditandatangani di antara Mahkamah Besar NBD dengan Badan Kehakiman di luar negara, selepas pemeteraian memorandum bersama Mahkamah Besar Republik Rakyat China pada 21 September 2004 dan telah diperbaharui pada 6 Februari 2025, Department of Justice  of  the  Hong  Kong  (SAR)  pada  4  Mei  2023,  Mahkamah  Besar  Republik Singapura pada 18 Julai 2023, Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 6 Mac 2024 dan Badan Kehakiman Republik Peru pada 12 November 2024.