Siaran Akhbar dan Foto : Dynamik Technologies Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Dynamik Technologies Sdn. Bhd. dan irix Sdn. Bhd. telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam perkhidmatan digital dan pembangunan perniagaan serantau.
MoU tersebut telah dimeterai melalui pertukaran dokumen semasa pelancaran Program Citarasa & Tautan Budaya Sarawak - Brunei 2026 yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Majlis dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Yang Berhormat Dato Paduka Seri Laila Jasa Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan.
Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Semasa menandatangani MoU tersebut, Dynamik Technologies diwakili oleh Head of Business Development, Albert Hwong, manakala Trade & Investment Affairs Manager, Sarawak Trade and Tourism Office Brunei (STATOB), Mohammad Mubarak bin Abdillah Su'ut, mewakili irix.
MoU ini menyediakan rangka kerja bagi kedua-dua syarikat untuk meneroka peluang perniagaan bersama di Malaysia dan seluruh rantau ini. Kerjasama tersebut merangkumi pembangunan strategi pemasaran bersama, memperkenalkan produk dan perkhidmatan digital Dynamik ke pasaran baharu serta memperluaskan perkhidmatan profesional, perundingan dan program latihannya.
Kedua-dua syarikat juga akan meneroka kemungkinan menghoskan aplikasi dan produk Dynamik, termasuk DYN.HR dan DYN.AI, dalam infrastruktur pusat data milik irix, tertakluk kepada keperluan perlindungan data serta peraturan yang berkuat kuasa.
Antara bidang kerjasama lain yang berpotensi ialah menawarkan produk Dynamik seperti KARYADI, Nakhoda dan DYN.HR di pasaran Malaysia dan serantau, selain menyediakan perkhidmatan pengurusan infrastruktur serta teknologi maklumat.
Kerjasama ini menandakan langkah rasmi Dynamik ke arah memperkukuh kehadirannya di Sarawak, sekali gus menyokong hubungan digital dan ekonomi yang lebih erat antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak.
Melalui kerjasama ini, Dynamik dan irix berhasrat untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan, membangunkan peluang perniagaan serantau serta memperluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan digital yang dibangunkan di peringkat tempatan.