Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) memberi tumpuan kepada tiga keutamaan pelaksanaan bagi memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan secara berkesan dan benar-benar memberi impak.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos menyatakan demikian dalam usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menjelaskan, keutamaan pertama ialah memperkukuh keselamatan dan sekuriti melalui pelaksanaan Road Safety Action Plan 2030 bagi mempertingkatkan keselamatan sistem pengangkutan negara, di samping memperkukuh keselamatan siber bagi melindungi data, sistem serta infrastruktur kritikal negara.
Keutamaan kedua tambah Yang Berhormat ialah meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan menerusi usaha pendigitalan yang berterusan. Ini termasuk pemodenan sistem kerajaan, penaiktarafan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei serta pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pengguna.
Sementara itu, keutamaan ketiga, jelas Yang Berhormat ialah memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pertumbuhan dan pembangunan melalui pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN).
Yang Berhormat berkata, kementerian akan memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual bagi memberi impak yang dihasratkan.
Menurut Yang Berhormat, sebanyak 21 projek di bawah MTIC dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing negara melalui pembangunan infrastruktur pengangkutan, pengukuhan keterhubungan serta pemerkasaan transformasi digital.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat turut menegaskan bahawa transformasi digital bukan lagi satu pilihan, bahkan merupakan pemangkin utama kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.
“Namun demikian, kejayaannya tidak dapat dicapai oleh kerajaan sendiri semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam, sektor swasta, institusi akademik, masyarakat dan seluruh rakyat melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.
“InsyaaAllah, dengan adanya penyelarasan bersepadu oleh Menteri-menteri Penyelaras, pelaksanaan yang berkesan serta komitmen dari semua pihak terhadap ‘blueprint-blueprint’ utama Negara Brunei Darussalam, kita insyaaAllah akan dapat mempercepat pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
“Oleh yang demikian, kementerian ini akan terus memperkukuh libat urus bersama Ahli-ahli Yang Berhormat, sektor swasta, rakan-rakan strategik bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memberikan hasil yang nyata kepada negara dan rakyat,” jelas Yang Berhormat.