MTIC perkukuh keterhubungan, transformasi digital pacu Wawasan Brunei 2035

6 Og 2026 - 5:05am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) akan terus memainkan peranannya sebagai pemudah cara keterhubungan, transformasi digital dan pembangunan negara agar setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat serta memperkukuh daya saing Negara Brunei Darussalam (NBD).

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos menyatakan perkara tersebut dalam usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat berkata, NBD mempunyai hala tuju yang jelas melalui Economic Blueprint, Social Blueprint dan Manpower Blueprint sebagai panduan utama pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

‘Blueprint-blueprint’ ini, ujar Yang Berhormat, menyediakan asas penyelarasan dasar dan pelaksanaan secara bersepadu melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, agar setiap usaha yang dilaksanakan saling melengkapi ke arah matlamat yang sama.

Selaras dengan hala tuju tersebut tambah Yang Berhormat, MTIC telah menyelaraskan segala perancangan strategiknya melalui MTIC Strategic Plan 2030, Digital Brunei 2030 dan Road Safety Action Plan 2030, selain pelan strategik agensi-agensi di bawah MTIC bagi mendukung keutamaan pembangunan negara, khususnya dalam memperkukuh keselamatan, memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat berkata, MTIC Strategic Plan 2030 dibangunkan dengan mengambil kira pencapaian, cabaran dan pengajaran daripada pelan strategik Kementerian sebelum ini. Pendekatan ini dapat memberi penekanan kepada hasil yang lebih berimpak serta memastikan setiap inisiatif kementerian kekal sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dan ‘blueprint-blueprint’ kebangsaan.

Pelan ini jelas Yang Berhormat turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Digital Brunei 2030, yang menjadi kerangka transformasi digital negara dengan menyatukan usaha merentasi kerajaan, masyarakat, perniagaan serta data dan Kecerdasan Buatan (AI) di bawah satu hala tuju nasional yang bersepadu.

Yang Berhormat seterusnya berkata, dalam mendukung Wawasan Brunei 2035, peranan kementerian bukan sahaja tertumpu kepada sektor pengangkutan dan infokomunikasi, malah berperanan sebagai pemudah cara pembangunan negara melalui pengukuhan modal insan, ekosistem digital, keterhubungan serta rangkaian logistik yang cekap.

Sumbangan kementerian dapat dilihat melalui tiga bidang utama selaras dengan ‘blueprint-blueprint’ kebangsaan iaitu pertama, menyokong pembangunan modal insan dan ekosistem digital di bawah Manpower Blueprint dan Social Blueprint; kedua, menyokong pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan mampan di bawah Economic Blueprint dan ketiga, meningkatkan kualiti hidup rakyat di bawah Social Blueprint.

“Kementerian terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat digital melalui pelbagai inisiatif ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.

“Pada masa yang sama, kementerian turut memperkukuh infrastruktur digital yang inklusif serta rangka kerja kawal selia melalui Perintah Keselamatan Siber 2023 dan Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025, bagi memastikan transformasi digital dilaksanakan secara selamat dan berkesan,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut mengetengahkan beberapa program latihan dan pembangunan kemahiran seperti Program Perantisan TechInspire, TechXPLORE dan Coding.BN yang membantu dalam menyediakan generasi belia bagi peluang pekerjaan di sektor-sektor pengangkutan dan juga infokomunikasi.

Manakala di sektor pengangkutan, Program Maritime Cadetship yang bermula pada tahun 2025 bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan seperti pelaut dan profesional maritim yang diiktiraf oleh IMO (International Maritime Organization) untuk menyokong industri maritim di negara ini.

Menurut Yang Berhormat lagi, kementerian terus memperkukuh sumbangan sektor ICT serta sektor pengangkutan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Antara sasaran utama kementerian ialah meningkatkan pergerakan kargo melalui udara dan laut.

Bagi mencapai hasrat tersebut, jelas Yang Berhormat, kementerian sedang memperkasa pembangunan ekosistem logistik bersepadu yang menghubungkan pengangkutan udara, laut dan darat, di samping menyokong pembangunan industri ICT serta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Yang Berhormat berkata, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) sedang meningkatkan kecekapan pelabuhan melalui pendigitalan operasi seperti Maritime Single Window (MSW) dan penaiktarafan infrastruktur ekosistem Pelabuhan Muara serta pembangunan peluang perniagaan maritim bagi meningkatkan kapasiti, aktiviti ‘transhipment’ dan pergerakan kargo.

Pada masa yang sama juga, Majlis Digital Brunei, berperanan untuk membukakan peluang dalam mengembangmajukan ekonomi melalui penggunaan digital dalam sektor Perkhidmatan Awam, ‘industry players’ bagi sektor digital dan non-digital serta masyarakat.

“Kementerian komited untuk memastikan rakyat menikmati sistem pengangkutan yang selamat, cekap dan boleh dipercayai. Bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan masyarakat, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) terus memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya melalui Kempen Share the Road serta usaha menggubal perundangan.

“Pada masa yang sama juga, kementerian ini insyaaAllah akan terus berusaha untuk memastikan rakyat menikmati penyampaian perkhidmatan digital yang lebih mudah diakses, responsif serta berpusatkan pengguna (consumer centric),” terang Yang Berhormat.