Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan menyaksikan Pameran ilmiah bertemakan ‘Meneroka Khazanah Ilmu Pencetus Generasi Khayra Ummah’ yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16, hari ini.
Pameran tersebut menjadi antara pengisian utama Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA. Tema berkenaan mencerminkan komitmen UNISSA dalam meneroka, memelihara dan menginovasi khazanah keilmuan Islam bagi melahirkan generasi Khayra Ummah yang berilmu, beriman, bertakwa serta mampu menjadi teladan dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Pameran menghimpunkan pelbagai bahan ilmiah dan warisan intelektual Islam melalui tiga fokus utama iaitu khazanah manuskrip dan inovasi digital, penyelidikan pelajar serta sumbangan cendekiawan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pengisian tersebut memperlihatkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam daripada naskhah tulisan tangan dan sistem pengajian ‘talaqqi’ kepada penyelidikan kontemporari serta penggunaan teknologi digital.
Di ruang pameran, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung untuk menyaksikan pameran pertama yang mengetengahkan empat buah manuskrip terpilih daripada koleksi Perpustakaan UNISSA iaitu Mushaf Al-Quran tulisan tangan, Tafsir al-Jalalain, Syarh Sighah Sayyidi ‘Abdussalam bin Masyisy dan Tanbih al-Ghafilin. Koleksi berkenaan memperlihatkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam dalam bidang Al-Quran, tafsir, hadis, tasawuf dan akhlak.
Turut menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota adalah demonstrasi pendigitalan manuskrip menggunakan alat pengimbas khas atau ‘portable scanner’.
Demonstrasi tersebut memperlihatkan proses pengimbasan manuskrip secara sistematik, berkualiti tinggi dan selamat tanpa menjejaskan keadaan fizikal naskhah.
Penggunaan teknologi ini menyokong usaha pemeliharaan, pendokumentasian serta peluasan akses kepada manuskrip untuk tujuan pendidikan, penyelidikan dan rujukan generasi akan datang.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyaksikan pameran platform digital iaitu Laman Sesawang e-Manuskrip. Platform ini menyediakan akses kepada manuskrip Islam yang telah didigitalkan dan dikatalogkan untuk kegunaan orang ramai, pelajar dan penyelidik.
Platform tersebut juga menghimpunkan 14 buah manuskrip yang diwakafkan oleh Maktabah Makkah al-Mukarramah dan menjadi repositori penting dalam usaha memelihara warisan intelektual Islam serta memperkukuh peranan UNISSA sebagai pusat rujukan dalam bidang manuskrip Islam.
DYTM seterusnya dijunjung menyaksikan petak pameran Penyelidikan Pelajar antaranya ialah Kajian Strategi Penambahbaikan Pengurusan Manuskrip Digital di BKISHHB yang menumpukan aspek tadbir urus, metadata, kebolehaksesan, infrastruktur digital, kompetensi sumber manusia serta kelestarian koleksi serta Analisis Unsur Diplomasi hubungan Brunei-British Dalam Manuskrip Syair Yang Di-Pertuan.
Penyelidikan pelajar yang dipamerkan memperlihatkan penggunaan pendekatan filologi, analisis dokumen, kajian sejarah, pengurusan metadata dan teknologi digital dalam memahami, memelihara serta memperluas akses kepada warisan manuskrip.
Pengisian ini turut menunjukkan peranan mahasiswa dan mahasiswi UNISSA dalam menyumbang kepada pembangunan penyelidikan manuskrip yang lebih sistematik, autentik dan relevan dengan keperluan semasa.
Setelah itu, DYTM juga dijunjung menyaksikan Pameran Al-Quran Digital UNISSA yang memperkenalkan pembangunan Aplikasi Digital Mushaf UNISSA yang dilengkapi audio bacaan Al-Quran oleh qari tempatan, terjemahan, senarai surah dan pelbagai fungsi interaktif.
Aplikasi ini merupakan kesinambungan daripada penghasilan Mushaf UNISSA dan dirancang untuk menyediakan audio bacaan Al-Quran oleh qari tempatan dalam kalangan alumni UNISSA, terjemahan Al-Quran, senarai surah serta pelbagai fungsi interaktif melalui platform digital.
Seterusnya, DYTM dijunjung menyaksikan Pameran Program Balai Talaqqi oleh Fakulti Usuluddin yang menghidupkan semula tradisi pengajian Islam secara bersemuka dan pembelajaran kitab dari kulit ke kulit di bawah bimbingan guru.
Program tersebut merupakan inisiatif untuk menghidupkan semula tradisi pengajian Islam secara bersemuka iaitu pembelajaran kitab dari kulit ke kulit di bawah bimbingan guru. Program ini memperkukuh tradisi keilmuan Islam dan menyemarakkan budaya menuntut ilmu dalam kalangan masyarakat.
DYTM seterusnya disembahkan dengan Pameran Statik Tokoh-tokoh Islam dan tayangan video dokumentari hasil karya pelajar Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan Pusat Kajian Manuskrip Islam.
Pengisian ini mengabadikan jasa tokoh-tokoh ugama dan cendekiawan yang telah menyumbang kepada perkembangan pendidikan, dakwah, pentadbiran, perundangan, kesusasteraan dan pengajian Islam di NBD.
Antara tokoh yang diketengahkan ialah Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Khatib Haji Awang Abdul Latif bin Haji Muhammad Taha, Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hassanuddin, Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti bin Haji Nasar, Allahyarham Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Allahyarham Yang Mulia Dato Paduka Seri Setia Profesor Dr. Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman serta Allahyarham Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Awang Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin.
Secara keseluruhannya, pameran ini memperlihatkan kesinambungan antara warisan ilmu Islam, penyelidikan akademik dan penggunaan teknologi digital. Ia juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam memelihara khazanah manuskrip, memperkasa hasil penyelidikan pelajar, mendokumentasikan jasa para cendekiawan serta menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat.
Pameran ini diharapkan dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap warisan intelektual Islam, memperluas kefahaman mengenai kepentingan manuskrip dan pendigitalannya serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus meneroka dan mengembangkan khazanah ilmu ke arah pembentukan generasi Khayra Ummah.