Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Tanah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Jabatan Tanah memaklumkan bahawa Pejabat Tanah Daerah Brunei dan Muara serta Bahagian Registri dan Hak Milik Strata akan berpindah sepenuhnya ke bangunan baharu yang terletak di bekas bangunan TelBru, Simpang 55, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Kaunter-kaunter perkhidmatan di lokasi baharu berkenaan akan mula beroperasi pada Sabtu, 1 Ogos 2026. Sehubungan itu, semua urusan perkhidmatan kaunter bagi kedua-dua bahagian tersebut hendaklah dibuat di bangunan baharu mulai tarikh berkenaan.
Bagi membolehkan proses pemindahan dilaksanakan dengan lancar, kaunter perkhidmatan dan pembayaran Pejabat Tanah Daerah Brunei dan Muara serta Bahagian Registri dan Hak Milik Strata akan ditutup selama sehari pada Khamis, 30 Julai 2026.
Dengan pemindahan tersebut, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan di lokasi baharu, termasuk pembayaran Cukai Tanah dan lain-lain transaksi tanah, permohonan pindah milik tanah, pendaftaran waris, permohonan geran tanah hilang, rosak atau hangus, permohonan kaveat tanah, permohonan tukar syarat khas tanah, gadaian, pembaharuan tempoh pajakan tanah, pajakan tanah persendirian, penyambungan tanah Lesen Tumpang Sementara, permohonan jalan laluan di atas tanah kerajaan serta permohonan menghalakan saliran ke tanah kerajaan.
Sementara itu, urusan yang melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Tanah, Bahagian Pemerolehan dan Pelupusan Tanah, Bahagian Penilaian, Bahagian Perkhidmatan dan Perkembangan serta Bahagian Pematuhan dan Perundangan masih beroperasi seperti biasa di ibu pejabat Jabatan Tanah.
Jabatan Tanah turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pemindahan tersebut.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai waktu operasi kaunter, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Tanah melalui WhatsApp di talian +673 7507878 atau e-mel ‘info.land@land.gov.bn’. Maklumat lanjut juga boleh diperoleh melalui laman sesawang Jabatan Tanah di ‘www.land.gov.bn’ atau akaun Instagram rasmi ‘@jabatantanah.bn’.