Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pelantikan tiga Menteri Penyelaras merupakan langkah strategik dalam memperkukuh penyelarasan pentadbiran kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih bersepadu dan berkesan ke arah merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas berkata demikian dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Yang Berhormat berkata, kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pelantikan Menteri-menteri Penyelaras menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap kementerian bergerak secara bersepadu ke arah matlamat nasional yang sama.