Peluang merasai keunikan warisan kebudayaan Korea

1 Og 2026 - 8:33am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BERAKAS, Jumaat, 31 Julai. - Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menganjurkan Festival Korea 2026 yang berlangsung di Atrium, Times Square Shopping Centre, hari ini. Majlis Pembukaan festival tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat, bersama Duta Besar Republik Korea ke NBD, Tuan Yang Terutama Sun Nam-kook.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa Festival Korea merupakan peluang berharga kepada masyarakat NBD untuk mengenali serta merasai sendiri keunikan budaya tradisional dan budaya kontemporari Korea. Menurut TYT, pertukaran budaya memainkan peranan penting dalam memperkukuh persefahaman bersama, di samping mengeratkan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Republik Korea dan NBD. TYT turut merakamkan penghargaan yang tulus kepada Kerajaan NBD, Times Square Shopping Centre, organisasi-organisasi yang mengambil bahagian, para penghibur, sukarelawan serta semua rakan kerjasama yang telah memberikan sokongan sehingga festival tersebut berjaya dilaksanakan.

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 31 Julai 2026 hingga 2 Ogos 2026 itu mengetengahkan pelbagai program yang mencerminkan kepelbagaian budaya Korea. Para pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan K-pop, demonstrasi Taekwondo, kelas masakan Korea, pengalaman mengenakan Hanbok, seni kaligrafi Korea serta pelbagai bengkel kebudayaan interaktif yang mempamerkan warisan budaya Korea di samping perkembangan budaya kontemporarinya.

Antara tarikan utama festival pada tahun ini ialah kelas kaligrafi Korea yang dianjurkan dengan sokongan Sejong Academy. Bengkel tersebut dikendalikan oleh tenaga pengajar kaligrafi Korea, Yoo Hyun Tuk, yang memperkenalkan para peserta kepada keindahan tulisan Hangul dan seni kaligrafi tradisional Korea. Aktiviti berkenaan memberikan peluang istimewa kepada para peserta di negara ini untuk merasai sendiri salah satu bentuk seni tradisional Korea. Selain persembahan kebudayaan dan bengkel yang diadakan, para pengunjung juga berpeluang mengunjungi gerai makanan dan produk Korea yang menawarkan pelbagai hidangan tradisional, produk gaya hidup serta pameran kebudayaan sepanjang festival berlangsung. Penganjuran Festival Korea 2026 sekali lagi mencerminkan perkembangan positif hubungan pertukaran budaya antara Republik Korea dan NBD. Melalui gabungan warisan tradisional, budaya kontemporari serta pelbagai aktiviti interaktif, festival ini menjadi platform yang bermakna dalam memupuk persefahaman bersama, di samping terus memperkukuh hubungan persahabatan serta hubungan sesama rakyat antara kedua-dua negara.