Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. – Hubungan istimewa yang sekian lama terjalin antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan rakyat baginda sekali lagi terserlah menerusi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara Tahun 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra dan bermakna.
Majlis berkenaan bukan sekadar menjadi acara tahunan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malah menjadi lambang keakraban, kasih sayang serta hubungan yang tidak ternilai antara raja dan rakyat yang menjadi teras kestabilan dan keharmonian Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pemangku Penghulu Mukim Sengkurong dan Ketua Kampung Mulaut, Awang Hamizan bin Haji Mustapa, menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana berkenan mencemar duli menghadiri majlis berkenaan.
Menurutnya, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat merupakan wadah yang mengeratkan silaturahim antara raja dan rakyat, selain memberi peluang kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bertemu, beramah mesra dan menjunjung kasih secara lebih dekat kepada baginda.
"Selaku pemimpin akar umbi di mukim dan kampung, saya amat berbangga dan bersyukur kerana dapat bersama-sama menghadiri majlis seperti ini. Inilah antara keistimewaan yang hanya terdapat di NBD apabila raja begitu dekat dengan rakyatnya," ujarnya lagi.
Awang Hamizan turut melihat perubahan positif yang berlaku dalam kalangan generasi muda apabila semakin ramai belia diberi kepercayaan menyandang jawatan sebagai penghulu mukim dan ketua kampung.
Perkembangan berkenaan katanya lagi, membuka ruang kepada kepimpinan yang lebih dinamik, khususnya dalam memanfaatkan melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu Pengiran Haji Mohd. Iskandar Shah bin Pengiran Haji Jadid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tarik Kalat sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM, turut berkongsi pandangan mengenai keistimewaan hubungan baginda dengan rakyat melalui sukan tradisi berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa sukan tarik kalat mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana merupakan antara sukan kegemaran Kebawah DYMM dan juga Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Bagi mengimbau detik bersejarah berkenaan, Pengiran Haji Mohd. Iskandar Shah turut mempamerkan beberapa koleksi gambar kenangan yang memperlihatkan Kebawah DYMM bersama Al-Marhum ayahanda baginda berkenaan menyertai pertandingan tarik kalat. Gambar-gambar berkenaan merupakan koleksi peribadi ahli jawatankuasa dan Persatuan Tarik Kalat.
Beliau berharap koleksi berkenaan dapat menghidupkan semula nostalgia serta menjadi inspirasi kepada generasi masa kini bahawa sukan bukan sahaja memupuk semangat berpasukan, malah menjadi medium yang mengeratkan hubungan antara raja dan rakyat.
"Setiap kali Sambutan Hari Keputeraan, pertandingan tarik kalat sentiasa mendapat sambutan kerana ia melambangkan kebersamaan, kemesraan dan semangat kekitaan yang diteladani sendiri oleh Kebawah DYMM," ujarnya lagi.
Manakala, Yang Dipertua Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Nurul Izyan binti Anver semasa ditemu bual menjelaskan bahawa penglibatan golongan belia dalam majlis berkenaan membuktikan peranan penting mereka sebagai rakan pembangunan negara.
Menurutnya lagi, penyertaan para belia yang mewakili pelbagai pertubuhan di bawah naungan MBB membuka ruang untuk mereka mempamerkan inisiatif, kreativiti dan sumbangan yang telah dilaksanakan kepada masyarakat serta negara.
Beliau seterusnya berkata, peluang berinteraksi secara langsung dengan Kebawah DYMM turut menjadi suntikan motivasi kepada belia untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara serta memperkukuh semangat patriotisme.
Turut berkongsi pandangan ialah Kaunselor Aftercare Support Association (AFSA), Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, yang menyifatkan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sebagai platform yang amat bermakna dalam memperkukuh hubungan erat antara raja dan rakyat.
Menurutnya lagi, keistimewaan NBD terserlah apabila Kebawah DYMM sendiri berkenan berangkat menemui rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang penuh mesra dan kasih sayang.
"Setiap kali berlangsungnya Majlis Bersama Rakyat, inilah saat yang sentiasa dinantikan. Peluang bertemu secara dekat dengan Kebawah DYMM merupakan pengalaman yang amat bermakna dan mencerminkan kasih sayang baginda terhadap rakyat," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan persatuannya dalam majlis berkenaan merupakan peluang untuk memperlihatkan hasil usaha membantu bekas penagih dadah dan individu yang pernah menjalani hukuman penjara membina kehidupan baharu melalui bidang pertanian serta latihan kemahiran.
"Kami mahu membantu mereka melihat masa depan yang lebih cerah. Dengan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran, mereka mampu bangkit semula serta menjadi anggota masyarakat yang produktif," ujarnya lagi.
Menurut Awang Haji Ali Yusri lagi, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.
Mengakhiri temu bual, beliau turut berpesan kepada golongan belia agar sentiasa berani menghadapi cabaran, tidak mudah berputus asa dan berusaha menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi, selaras dengan titah Kebawah DYMM yang sentiasa menggalakkan belia untuk meneroka pelbagai peluang serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sekali lagi membuktikan bahawa institusi beraja di NBD bukan sekadar menjadi tonggak pemerintahan negara, malah terus mendekatkan raja dengan rakyat melalui hubungan yang berteraskan kasih sayang, saling menghormati dan kepercayaan.
Keakraban yang dipamerkan sepanjang majlis berkenaan menjadi manifestasi kepada kekuatan konsep Melayu Islam Beraja, di mana raja sentiasa dekat di hati rakyat, manakala rakyat pula terus menzahirkan taat setia dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Hubungan unik inilah yang menjadi antara kekuatan utama NBD dalam mengekalkan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negara dari generasi ke generasi.