Pembentukan karakter pelajar perlu berteraskan falsafah MIB

6 Og 2026 - 5:13am

Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dalam kenyataan Menteri mempersoalkan dengan perkembangan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) yang semakin pesat, bolehkah AI menggantikan pendidik? Jawapannya tidak.

Kenapa tidak, jelas Yang Berhormat, kerana pendidik bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga membentuk insan, akhlak, pemikiran dan nilai dalam kalangan pelajar. Pendidik membimbing, memberikan inspirasi, mengenali keperluan dan potensi pelajar, membina keyakinan, mengajar adab serta menjadi contoh teladan.

Yang Berhormat seterusnya mempersoalkan apakah kesan AI terhadap peranan dan tanggungjawab seorang pendidik.

“AI dapat membantu pendidik dalam menyampaikan kandungan, menyediakan latihan, menghasilkan bahan, memberikan maklum balas awal dan menganalisis prestasi pelajar.

“Justeru, bagi memastikan kandungan pembelajaran kekal tepat dan bersesuaian, para pendidik perlu berperanan sebagai pembimbing pembelajaran yang membantu pelajar menilai serta menggunakan maklumat secara bijaksana,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Peranan pendidik juga tidak terhenti di bilik darjah atau pada aspek akademik semata-mata tegas Yang Berhormat. Kongsi Yang Berhormat, dalam menangani isu-isu sosial seperti buli dan keganasan siber, tekanan kesihatan mental serta pendedahan kepada pelbagai maklumat dan pengaruh melalui AI dan media sosial, anak-anak kita memerlukan lebih daripada sekadar teknologi.

Menurut Yang Berhormat lagi, mereka memerlukan hubungan insani yang tulen, bimbingan, teladan dan kekuatan dalaman untuk menilai maklumat, membuat keputusan secara bijaksana serta mengekalkan jati diri dan di sini lah peranan utama pendidik sebagai mentor dalam membentuk karakter pelajar.

Bagi Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat berkata, pembentukan karakter pelajar perlu berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). MIB tidak seharusnya terbatas kepada pengetahuan yang dihafal atau dinilai dalam peperiksaan akan tetapi ia perlu dihayati melalui cara pelajar berfikir, bertutur, membuat keputusan, berinteraksi dan menggunakan teknologi.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik AI, tetapi mempunyai pedoman nilai untuk menentukan bagaimana teknologi tersebut digunakan dan untuk tujuan apa ia digunakan,” ujar Yang Berhormat.