Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Piper Aircraft, Inc. (Piper Aircraft) dan Alpha Aviation Group (AAG) menandatangani satu kontrak penjualan bagi pemerolehan enam buah pesawat latihan Piper, untuk diserahkan pada tahun ini bagi kegunaan salah sebuah Sekolah Latihan Penerbangan (flight training school) milik AAG di rantau Asia Tenggara, pagi tadi.
Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Business Development Adviser, Piper Aircraft Asia Sdn. Bhd., Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat bagi pihak Piper Aircraft, Inc. dan Business Development Director, AAG, Colonel (R), Teng Keng Peh bagi pihak Syarikat AAG.
Tempahan ini adalah merupakan salah satu pemerolehan pesawat latihan Piper Aircraft yang signifikan di Asia Tenggara dan menandakan fasa pertama bagi pelan jangka panjang Syarikat AAG untuk memperoleh sehingga 100 buah pesawat dalam beberapa tahun akan datang.
Kontrak ini mencerminkan komitmen AAG untuk memperluaskan kapasiti latihan penerbangan bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap juruterbang yang berkelayakan.
Majlis penandatanganan yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan, di sini, disaksikan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, serta Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Ini menekankan kepentingan terhadap inisiatif bagi pembangunan industri penerbangan serantau serta keselarasannya dengan aspirasi negara untuk membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Syarikat Piper Aircraft, Inc., yang dimiliki sepenuhnya oleh Dana Modal Pembangunan Strategik di bawah Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan, Negara Brunei Darussalam (NBD) merupakan sebuah syarikat pengeluar pesawat yang berpangkalan di Vero Beach, Florida.
Dengan legasi yang menjangkau hampir sembilan dekad, Piper Aircraft telah pun diiktiraf di peringkat global sebagai pengeluar pesawat yang berkualiti tinggi, berprestasi serta boleh dipercayai, termasuk pesawat latihan Archer dan Seminole yang digunakan secara meluas oleh sekolah penerbangan dan program latihan juruterbang profesional di seluruh dunia.
Syarikat AAG, yang beribu pejabat di United Kingdom adalah merupakan sebuah organisasi latihan juruterbang antarabangsa yang beroperasi di Republik Filipina, Republik India dan Republik Indonesia.
Melalui metodologi latihan moden, sistem pengajaran yang canggih serta kurikulum yang sejajar dengan keperluan industri, Syarikat AAG menyokong pembangunan bagi saluran bekalan juruterbang yang mampan untuk memenuhi keperluan sektor penerbangan komersial yang sentiasa berkembang.
Kerjasama antara Piper dan AAG menggabungkan kekuatan saling melengkapi dalam bidang pembuatan pesawat dan pembangunan juruterbang profesional.
Melalui penggunaan pesawat latihan canggih daripada Piper di seluruh rangkaian AAG, sistem latihan yang telah diseragamkan serta kepakaran dari segi operasi, kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti latihan penerbangan, dalam menyokong pembangunan syarikat-syarikat penerbangan dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri penerbangan, serta menyumbang kepada pembangunan berterusan keupayaan penerbangan serantau.
Sementara itu, Business Development Director, AAG dalam ucapannya berkata bahawa pemilihan pesawat Piper ini mencerminkan komitmen syarikat berkenaan terhadap kualiti, keselamatan dan kebolehpercayaan di mana Piper telah mendapat kepercayaan sekolah-sekolah penerbangan dan para pengendali di seluruh dunia dengan secara konsisten menghasilkan pesawat yang selamat dan berprestasi tinggi secara konsisten.
Beliau menambah, pesawat keluaran mereka memenuhi keperluan operasi latihan harian, di samping memberikan keyakinan kepada tenaga pengajar dan para pelatih.
Bagi organisasi seperti mereka katanya lagi, di mana aspek keselamatan dan hasil latihan adalah sangat diutamakan, Piper merupakan rakan strategik yang tepat untuk menyokong visi jangka panjang kami dalam latihan juruterbang.
Ketua Bahagian (Pelaburan), Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan, Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi yang juga merupakan Pengarah di Piper Aircraft Inc. pula menjelaskan bahawa melalui kerjasama ini, mereka berpeluang untuk terus memperkukuhkan kedudukan NBD untuk menjadi hab serantau bagi penerbangan am.
Tambahnya, ini termasuk mewujudkan peluang dalam Bidang Latihan Penerbangan, Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik-Pulih (MRO), operasi sokongan pesawat, kepakaran teknikal serta pelbagai perkhidmatan berkaitan penerbangan yang akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem penerbangan yang mampan.
Kerjasama ini meletakkan Syarikat Piper Aircraft dan Syarikat AAG sebagai penyumbang penting kepada pembangunan bakat penerbangan di peringkat global, sekali gus menunjukkan keserasian syarikat pengeluaran pesawat dan organisasi latihan dapat bekerjasama dalam menangani kekurangan juruterbang serta memodenkan infrastruktur latihan penerbangan.