Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pendekatan Whole of Government serta pengukuhan mekanisme akauntabiliti dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas merupakan antara faktor penting dalam memastikan penyelarasan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas berkata demikian dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Menurut Yang Berhormat, pelantikan Menteri-menteri Penyelaras turut dapat memastikan penggunaan sumber kerajaan dilaksanakan secara lebih berkesan, sekali gus mengelakkan pertindihan program, mengurangkan pembaziran dan memaksimumkan impak setiap projek kepada negara dan rakyat.
Yang Berhormat berkata, kejayaan pelantikan Menteri-menteri Penyelaras bukan hanya bergantung kepada kewujudan jawatan tersebut, malah memerlukan pembahagian bidang kuasa yang jelas, mekanisme akauntabiliti yang mantap serta KPI yang boleh diukur.
“Setiap Menteri Penyelaras perlu mempunyai mandat yang nyata, KPI yang jelas serta mekanisme pelaporan yang telus supaya keberkesanan penyelarasan dapat dinilai secara berterusan,” ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, kejayaan penyelarasan juga memerlukan budaya kerja berasaskan pendekatan Whole of Government dengan setiap kementerian melihat diri sebagai sebahagian daripada satu pasukan yang mempunyai matlamat bersama untuk memajukan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara sektor awam, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap dasar yang dirancang benar-benar memberi impak kepada pembangunan negara.
Selain itu, Yang Berhormat berkata, penyelarasan yang mantap mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran, mempercepat pelaksanaan dasar serta memastikan penggunaan sumber negara dilakukan secara optimum.
Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat menyatakan keyakinan bahawa dengan sistem pemantauan yang berkesan, tadbir urus yang telus dan kerjasama semua pihak, penyelarasan tersebut akan menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.