Pentas Perayaan tampilkan bakat seni tempatan

3 Og 2026 - 7:00am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUTONG, Ahad, 2 Ogos. - Pentas Perayaan malam ini dimeriahkan lagi dengan mengetengahkan bakat seni tempatan melalui persembahan Setia Live Band yang bertemakan 'Gema Generasi : Muzik, Cinta dan Kesetiaan' anjuran Majlis Perundingan Kampung Bukit Udal dan Penapar, Tutong.

Persembahan tersebut diharap akan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penglibatan aktif Majlis Perundingan Kampung berkenaan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri pada Pentas Perayaan yang berlangsung di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.

Menurut Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar Tutong, Awang Haji Masri bin Haji Abdullah selaku Pengurus Kumpulan berkenaan, objektif persembahan adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.

Selain itu ia juga menyediakan platform hiburan yang sihat kepada masyarakat dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk dan para pengunjung.