Pentas Perayaan Tutong dimeriahkan dengan Malam Sri Bahtera

29 Jul 2026 - 6:31am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 

TUTONG, Selasa, 28 Julai. - Acara Malam Sri Bahtera bagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun menyerikan Pentas Perayaan Daerah Tutong, malam tadi. 

Kumpulan Iramabahtera Entertainment merupakan penggerak utama bagi acara Malam Sri Bahtera dengan mengetengahkan nilai-nilai budaya yang harmoni melalui gabungan persembahan tradisional dan moden.

Mereka turut menampilkan gabungan hiburan kreatif dan kesenian yang dirancang khas untuk memeriahkan sambutan perayaan dengan membawakan persembahan muzik ‘live’, nyanyian-nyanyian lagu irama melayu asli bagi menghargai warisan budaya dan memelihara serta memupuk nilai-nilai murni warisan khazanah seni kebudayaan dengan gabungan alatan-alatan muzik tradisional.

Hadir selaku tetamu kehormat di acara tersebut, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Juga hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.

Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik bermula dari 15 Julai hingga 8 Ogos, dengan membariskan pelbagai persembahan kebudayaan, muzikal, serta aktiviti keagamaan dan kenegaraan bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan di daerah berkenaan.