Penyelarasan KPI memacu pertumbuhan ekonomi, pekerjaan berkualiti

4 Og 2026 - 8:36am

Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam tempoh baki sembilan tahun menuju Wawasan Brunei 2035, fasa yang dihadapi Negara Brunei Darussalam bukan lagi fasa perancangan tetapi fasa pelaksanaan yang perlu menunjukkan kemajuan nyata dan dapat dirasakan oleh rakyat.

Perkara itu ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, pelantikan Menteri-menteri Penyelaras oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah bertepatan dan tepat pada masanya bagi memberi tumpuan sepadu kepada pelaksanaan yang seiring, lebih pantas, berimpak tinggi dan berkesan.

Pelaksanaan tersebut perlu menghasilkan ‘measurable tangible outcomes’ yang boleh dinilai dalam tempoh pendek, sederhana dan panjang dengan pelaksanaannya dipecahkan kepada fasa atau ‘building blocks’ yang jelas bagi memudahkan pemantauan berkala, penilaian kemajuan serta tindakan pembetulan awal apabila diperlukan.

Yang Berhormat menegaskan, penyelarasan itu sendiri bukanlah matlamat akhir. Ia merupakan satu mekanisme untuk menghasilkan keputusan yang lebih cepat, menentukan semula keutamaan aktiviti yang perlu, tanggungjawab diagihkan agar lebih jelas serta memastikan penggunaan sumber yang lebih teratur bagi mencapai National Outcomes yang benar-benar dapat dilihat dan dirasai oleh negara serta rakyat.

Dalam perbahasannya, Yang Berhormat menyentuh tiga National Outcomes utama iaitu pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan (employment) dan sekuriti makanan (food security).

Bagi membantu pelaksanaan struktur Menteri Penyelaras, Yang Berhormat mengemukakan beberapa pandangan berdasarkan pengalamannya dalam sektor korporat khususnya mengenai kaedah pemantauan strategi tindakan (strategic monitoring tool to take corrective action) apabila sesuatu hasil bergantung kepada tindakan beberapa jabatan, agensi dan pihak berkepentingan yang mempunyai keutamaan, jadual serta cabaran tersendiri.

Yang Berhormat mencadangkan supaya keutamaan nasional yang melibatkan beberapa kementerian diterjemahkan kepada Joint Coordination Action Acitivities iaitu satu set aktiviti penyelarasan bersama yang jelas dan boleh dilaksanakan.

Menurut Yang Berhormat, daripada pelbagai KPI yang telah tersedia di setiap kementerian, Menteri Penyelaras bersama menteri yang memiliki KPI berkenaan boleh mengenal pasti KPI paling kritikal dan perlu diberi keutamaan secara kolektif bagi menyumbang kepada sesuatu National Outcome.

Yang Berhormat menjelaskan, cadangan tersebut bukan untuk mewujudkan KPI baharu, namun KPI sedia ada perlu dipetakan, diselaraskan, dinilai risikonya dan diberikan keutamaan berdasarkan impak.

“Sebagai contoh, bagi National Outcome pertumbuhan ekonomi, usaha memudahkan perniagaan (businesses) dan menarik FDI memang penting. Namun, kejayaan bukan hanya melalui bilangan syarikat yang didaftarkan, mencapai ‘ranking’ tinggi dalam indikator Ease of Doing Business atau banyaknya jumlah Memorandum of Understanding (MoUs) atau jumlah pelaburan yang diumumkan.

“Kita mungkin perlu beri keutamaan kepada pelaburan yang bukan saja mempunyai impak ekonomi tinggi tetapi yang menyumbang kepada National Outcome yang lain jua,” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, keutamaan perlu diberikan kepada pelaburan yang bukan sahaja mempunyai impak ekonomi tinggi tetapi turut menyumbang kepada National Outcomes lain seperti benar-benar beroperasi, menggunakan perkhidmatan tempatan, membina rantaian bekalan domestik (domestic supply chains), menghasilkan pendapatan dalam negara serta menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan merancang supaya graduan dan pekerja tempatan yang mempunyai kelayakan bersesuaian diberikan pendedahan awal serta kemahiran termasuk latihan di syarikat induk agar mereka bukan sahaja memasuki pekerjaan peringkat permulaan (entry level) tetapi mampu mengambil alih jawatan penyeliaan (supervisory) dan pengurusan pertengahan (middle-management) dalam tempoh yang ditetapkan.

Yang Berhormat berkata, di sinilah pentingnya penyelarasan bagi memastikan KPI berkaitan pelaburan, perniagaan, kelayakan graduan, latihan dalam pekerjaan serta tenaga kerja yang bersedia (work ready) bergerak ke arah satu matlamat yang sama iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana hasil negara dan menyediakan pekerjaan berkualiti untuk anak tempatan.

Selain itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya ditetapkan ‘accountable owner’ bagi setiap National Outcome.

Menurut Yang Berhormat, apabila terlalu banyak pihak terlibat, tanggungjawab akhir kadangkala menjadi kurang jelas dan sesuatu isu boleh berpindah daripada satu kementerian kepada kementerian lain tanpa penyelesaian.

Yang Berhormat mencadangkan supaya Menteri Penyelaras melantik seorang individu yang bertanggungjawab (single accountable person) di peringkat portfolio kementerian atau agensi sebagai peneraju pelaksanaan, manakala kementerian dan agensi lain menyumbang mengikut peranan masing-masing dengan tanggungjawab, sasaran dan tempoh pelaksanaan yang jelas.

Mengambil contoh National Outcome berkaitan pekerjaan, kata Yang Berhormat, selepas pandemik COVID-19, jumlah pekerja asing dalam sektor swasta meningkat daripada sekitar 60 ribu pada tahun 2021 kepada lebih 82 ribu pada tahun 2025 yang menunjukkan pemulihan ekonomi dan peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja.

Namun, Yang Berhormat berkata, tahap pengangguran negara sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025 adalah yang tertinggi di ASEAN, tidak termasuk jumlah graduan dan anak muda yang ‘underemployed’ serta yang belum lagi masuk dalam ‘national registration’.

Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan terus dipergiatkan dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dikurangkan secara berperingkat, Yang Berhormat menekankan, usaha penyelarasan lebih menyeluruh diperlukan supaya pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan.

Yang Berhormat menambah, perkara itu memerlukan penyelarasan antara pihak yang menguruskan permit kerja, ‘manpower forecasting’, pendidikan dan latihan; industri baharu, pelaburan, imigresen serta majikan, dengan ‘accountable owner’ ditetapkan bagi memacu pelaksanaan dan memantau pencapaian National Outcome tersebut.

Sebagai contoh, Yang Berhormat berkata, permit kerja yang akan tamat dalam tempoh dua atau tiga tahun boleh dikenal pasti lebih awal dan maklumat tersebut dikongsikan bersama agensi berkaitan supaya data lebih selaras dan konsisten.

Menurut Yang Berhormat, negara perlu mempunyai sasaran yang jelas dan boleh dilihat untuk mengurangkan pemegang permit kerja asing yang boleh digantikan oleh warga tempatan yang berkelayakan dan terlatih.

Pendekatan berkenaan membolehkan negara tidak menunggu kekosongan berlaku sebelum mencari calon tetapi menyediakan calon terlebih dahulu untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Yang Berhormat menegaskan, hasil yang ingin dicapai bukan sekadar pengurangan bilangan pekerja asing yang masih diperlukan bagi membantu kekurangan tenaga kerja tempatan sebaliknya peningkatan kualiti pekerjaan, perkembangan pendapatan, kemajuan kerjaya (career path development) serta keupayaan rakyat tempatan mengambil alih jawatan yang bersesuaian.