Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. – Bagi memperkukuh keselamatan tenaga, satu kerangka yang menyelaras unjuran permintaan tenaga dengan kapasiti bekalan, pertumbuhan penduduk, pembangunan industri dan keperluan infrastruktur pada masa hadapan mesti diwujudkan.
Keselamatan tenaga bukan hanya mengenai kecukupan bekalan. Ia juga meliputi kebolehpercayaan, kemampuan, daya tahan dan kelestarian sistem tenaga. Oleh itu, perancangan tenaga perlu disepadukan dengan perancangan ekonomi dan pembangunan negara.
Demikian antara yang diujarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
“Infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pengagihan perlu disenggara serta dinaik taraf secara terancang. Sistem juga perlu mempunyai kapasiti sokongan, pelan kecemasan dan laluan pemulihan yang jelas sekiranya berlaku kerosakan, bencana atau gangguan bekalan.
“Keutamaan perlu diberikan kepada kemudahan kritikal seperti hospital, sistem air, komunikasi dan perkhidmatan kecemasan supaya dapat terus beroperasi ketika berlaku gangguan.
“Kebergantungan berlebihan kepada satu sumber atau teknologi boleh meningkatkan risiko kepada negara. Oleh itu, campuran tenaga perlu dirancang dengan mengambil kira sumber sedia ada, tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga dan teknologi baharu yang sesuai,” ujar Yang Berhormat lagi.
Kepelbagaian ini, ujar Yang Berhormat, perlu dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan kos, kebolehpercayaan dan kesesuaian dengan keperluan negara – bukan sekadar memenuhi sasaran teknologi.
Keselamatan tenaga bukan hanya dicapai dengan menambah bekalan. Penggunaan tenaga juga perlu diurus dengan lebih cekap dalam sektor kerajaan, industri, perniagaan dan isi rumah.
Audit tenaga, tambah Yang Berhormat, peralatan cekap tenaga, reka bentuk bangunan yang lebih baik dan penggunaan teknologi pintar boleh mengurangkan pembaziran serta tekanan terhadap sistem. Penjimatan yang dicapai juga boleh digunakan untuk meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga.
KPI bersama hendaklah merangkumi iaitu Kecukupan kapasiti serta simpanan bekalan; Kekerapan dan tempoh gangguan bekalan dan Masa pemulihan selepas gangguan.
“Keselamatan tenaga memerlukan keseimbangan antara bekalan yang mencukupi, harga yang berpatutan, infrastruktur yang boleh dipercayai dan sistem yang berdaya tahan.
“Dengan pendekatan seluruh kerajaan, perancangan tenaga dapat menyokong pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kesinambungan perkhidmatan penting negara,” ujar Yang Berhormat.
Dalam mengakhiri perbahasan, Yang Berhormat ingin menekankan, cabaran utama sekarang bukan lagi merancang, tapi melaksana dengan pantas dan menyelaras – bergerak seiring, tidak bertindih dan memberi impak terus kepada rakyat menjelang 2035.
“Komunikasi terbuka kepada rakyat juga penting, bukan sekadar untuk memaklumkan perkembangan, tetapi bagi mendapatkan maklum balas dan menilai sama ada hasil pembangunan benar-benar sampai kepada mereka.
“Berlandaskan perkara-perkara yang telah kaola huraikan serta mengambil kira kepentingan penyelarasan dalam memperkukuh pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, kaola dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap usul tersebut,” jelas Yang Berhormat mengakhiri usul menyokong penyelarasan tersebut.