Perkukuh daya tahan digital, galakkan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab

5 Og 2026 - 7:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Ogos. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menghantar tujuh delegasi bagi menyertai ASEAN Youth Summit on Digital Resilience and Responsible Use of New Technologies yang berlangsung selama dua hari bermula 5 hingga 6 Ogos 2026 di Pasay City, Metro Manila, Republik Filipina.

Rombongan terdiri daripada seorang wakil Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Belia (Senior Official on Youth - SOMY) dan enam belia, diketuai oleh Pemangku Pegawai Belia dan Sukan, Awang Mohamad Ali Noh bin Haji Masri.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim. Turut hadir, pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan serta ahli keluarga para peserta.

Sepanjang sidang kemuncak tersebut, para delegasi akan menyertai pelbagai sesi yang merangkumi sesi plenari, dialog dasar, perbincangan kumpulan, perkongsian amalan terbaik, pembentangan oleh pakar serantau serta aktiviti jaringan bersama delegasi belia dari negara-negara ASEAN.

Program berkenaan turut menyediakan platform kepada para peserta untuk bertukar pandangan mengenai peranan belia dalam memperkukuhkan daya tahan digital serta menggalakkan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.

Sidang kemuncak kali ini memberi penekanan kepada usaha memperkasa belia ASEAN dalam mendepani cabaran era digital melalui pengukuhan literasi digital, pembinaan daya tahan terhadap ancaman dalam talian, penggunaan teknologi baharu secara beretika serta memperkukuhkan kerjasama serantau ke arah mewujudkan ekosistem digital yang selamat, inklusif dan mampan.

ASEAN Youth Summit on Digital Resilience and Responsible Use of New Technologies menghimpunkan delegasi belia dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal belia dari negara-negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan transformasi digital, di samping memperkukuhkan kerjasama serantau dalam pembangunan belia.

Melalui penyertaan tersebut, para delegasi diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mengenai daya tahan digital, selain memperluaskan rangkaian kerjasama serantau serta membawa pulang idea, pengalaman dan amalan terbaik yang dapat dimanfaatkan dalam memperkasa pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi Komuniti ASEAN.