Persembahan Khas semai nilai kebersamaan, menjunjung kedaulatan raja

30 Jul 2026 - 9:48am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Keindahan budaya dan keunikan tradisi menyerikan lagi Persembahan Khas pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara, di samping mengukuhkan ikatan kasih serta taat setia rakyat terhadap raja, sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan persembahan khas dengan tema ‘Menjunjung Raja Tampuk Negara’ pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Brunei dan Muara berkenaan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini. 

Persembahan khas dengan tema ‘Menjunjung Raja Tampuk Negara’ menampilkan format persembahan yang membawa konsep pop tradisional dan mengandungi tiga segmen. Dengan tema kecil ini memberikan gambaran rasa menjunjung kasih dan taat setia rakyat kepada raja, juga menggambarkan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan kaum meraikan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun. 

Format persembahan ini dibuat secara berperingkat dengan dimulai dengan salam pembukaan tarian berdatang sembah, diikuti dengan elemen kepelbagaian budaya, kehidupan masyarakat serta keterangkuman. Setiap segmen saling berkait dan membawa maksud raja adalah tunjang perpaduan dan kemakmuran negara. 

Persembahan ini melibatkan penuntut-penuntut dari sekolah-sekolah menengah dan belia-belia Brunei serta Orang Kelainan Upaya (OKU). Manakala, durasi persembahan adalah selama 18 minit ke 21 minit. 

Persembahan ini juga menggunakan ‘live music’ diiringi oleh Phuturephase Cultural Group Orkestra Brunei Youth Symphony yang mengetengahkan belia-belia yang aktif berkecimpung dalam bidang musik dan artis-artis yang sudah mencipta nama dalam industri seni. 

Seramai 259 penuntut dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Sekolah Menegah Menglait menyertai persembahan itu yang dibahagikan kepada tiga segmen.

Dalam segmen pertama, iaitu berdatang sembah menggambarkan budaya melayu dan merafak sembah menjunjung kasih rakyat kepada raja yang dikasihi di atas keberangkatan baginda bercemar duli bersama rakyat bagi penduduk Daerah Brunei dan Muara. Persembahan ini dimulakan dengan pembawaan tipa yang bergerak secara tertib dan penuh kesopanan melambangkan rasa hormat yang setinggi-tinggi di atas keberangkatan raja yang dikasihi. 

Bagi segmen kedua, mengabungkan elemen tradisional etnik dan kehidupan masyarakat yang tinggal di darat dan kehidupan di Kampong Ayer yang mengambarkan keharmonian kehidupan masyarakat yang menetap di kawasan Kampong Ayer dan darat, walaupun berbeza cara hidup dan sumber rezeki, mereka saling melengkapi dalam membina sebuah masyarakat yang aman, bersatu dan saling menghormati. 

Sementara itu, segmen ketiga pula persembahan khas dari OKU sebagai lambang bahawa setiap individu mempunyai bakat dan kemahuan untuk sama-sama meraikan hari keputeraan baginda. Segmen ini juga menjadi simbol perpaduan dan penghargaan terhadap OKU bagi melahirkan nilai kasih sayang dalam menjunjung kedaulatan raja. 

Manakala, ‘grand finale’ iaitu kemuncak persembahan turut menggabungkan kesemua peserta yang terlibat dan menggabungkan tiga genre irama yang berbeza yang dimulai dengan rentak tradisional dan kontemporari. Persembahan ini melahirkan rasa kesyukuran, memberikan gambaran kegembiraan rakyat dalam menyambut hari keputeraan raja yang dikasihi. Lagu ciptaan yang dinyanyikan oleh penyanyi Brunei yang sudah mencipta nama.