Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026 sempena Hari Keputeraan

3 Og 2026 - 7:23am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

TUTONG, Ahad, 2 Ogos. – Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang dipersembahkan semasa Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, malam tadi.

Pesta berkenaan berlangsung di kawasan padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyaksikan pesta berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.

Terdahulu perarakan kemasyarakatan, kebudayaan dan kesenian yang melibatkan lebih 200 peserta terdiri daripada wakil pelbagai puak, persatuan belia, persatuan kemasyarakatan serta pancaragam.

Turut diadakan ialah perarakan basikal berhias yang menampilkan pelbagai hiasan lampu kreatif dan berwarna-warni.

Pesta berkenaan diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang berlangsung selama lebih kurang 20 minit.

Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026 merupakan salah satu acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja bagi para penduduk yang tinggal di Daerah Tutong malah penduduk dari daerah lain juga datang bagi sama-sama memeriahkan pesta berkenaan.

Penganjuran Pesta Perayaan Pekan Tutong diadakan sebagai tanda meraikan kejayaan pelbagai acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 di Daerah Tutong, di samping sebagai penghargaan kepada semua peserta yang telah menjayakan sambutan berkenaan.