PGGMB adakan Lawatan Muhibah ke Republik Singapura

4 Og 2026 - 6:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di beberapa buah sekolah di Republik Singapura, seramai 14 peserta dari terdiri daripada tiga Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), empat guru besar dan guru kanan serta enam murid dari Sekolah-sekolah PGGMB berlepas ke Republik Singapura bagi mengadakan Lawatan Muhibah bermula 3 hingga 7 Ogos ini.

Rombongan diketuai oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.

Menyertai rombongan ini ialah Setiausaha Agung PGGMB, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Awang Haji Yahya bin Haji Mirassan; Guru Besar Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Lambak, Dayang Noraidah binti Abdullah; Guru Besar STJ PGGMB Kuala Belait, Dayang Fazziah binti Haji Kamis; Guru Kanan STJ PGGMB Lambak dan murid-murid STJ PGGMB Lambak.

Menurut Guru Besar STJ PGGMB Lambak, lawatan ini merupakan lawatan balas guru-guru dan murid STJ PGGMB Lambak ke Unity Primary School dan Chua Chu Kang Primary School di Republik Singapura dalam memberikan pendedahan, pengalaman dan meningkatkan lagi motivasi para guru dan murid mengenai dengan teknik pengajaran dan pembelajaran di sana.

Selain itu, katanya, para murid akan dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan murid-murid di sekolah-sekolah berkenaan dan akan dapat menghayati dan membawa balik nilai dan amalan terbaik mengenai tatacara pembelajaran di sana dan seterusnya dapat dikongsi dengan rakan-rakan di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, rombongan juga akan melawat ke Brunei High Commission, Science Centre, Garden by the Bay (Flower Dome and Clock Forest) dan tempat-tempat yang bersejarah di sana. Dengan lawatan ini akan dapat menyuntik nilai tambah yang efektif dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pengajaran di Sekolah-sekolah PGGMB.