Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Dalam memperluaskan jaringan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah telah menganjurkan Program Talian Kasih: Masjid-Masjid Serantau.
Program tersebut diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Program ini dilaksanakan secara dalam talian pada setiap bulan bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam dan negara, dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir, pegawai-pegawai masjid, Muslimah serta belia masjid.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Muktamar Masjid-Masjid Serantau yang diadakan di Kuching, Sarawak, yang menekankan konsep 'Mosque Strategic and Smart Networking Centre'.
Ia menjadi wadah ilmiah dalam menjalinkan rangkaian persahabatan, perkongsian idea, ilmu pengetahuan dan program, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan Islam.
Hadir sama pada program tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri; dan Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Zulikifli bin Haji Murat.
Manakala dari Negeri Selangor Darul Ehsan, Malaysia, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Encik Haji Hashim bin Muhamad.
Juga hadir, Penolong-Penolong Pengarah, JAIS, Pengurus dan Nazir Masjid seluruh Negeri Selangor.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan pembentangan Peranan Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Ketua Bahagian Imarah, JHEM, Awang Haji Fansuri Sharimi@Haji Mansur bin Mohamad Ali.
Majlis diteruskan dengan perkongsian Aktiviti Takmir disampaikan oleh wakil dari Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara masjid-masjid senusantara, membuka peluang kerjasama projek dan usaha masa depan, serta berkongsi maklumat dan ilmu secara berkala.
Semoga dengan terlaksananya program ini, hubungan jalinan silaturahim antara masjid-masjid di NBD dengan masjid-masjid serantau akan semakin erat, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebudayaan dan pembangunan sahsiah umat Islam.