Pupuk minat membaca, tingkatkan penguasaan bahasa

18 Okt 2026 - 6:54am

Berita dan Foto  : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Sekolah Rendah Beribi Telanai (SRBT) hari ini menganjurkan program English Lit Up! SRBT Pyjama Day sebagai inisiatif untuk memupuk minat membaca, meningkatkan penguasaan bahasa serta membina keyakinan murid dalam penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar SRBT, Dayang Isma Hidayyati binti Haji Ismail, yang seterusnya merasmikan program berkenaan.

Program tersebut menghimpunkan pihak kepimpinan sekolah, guru-guru, murid-murid, ibu bapa serta ahli Jawatankuasa Lit Up! dalam suasana santai dan menyeronokkan bagi meraikan kepentingan literasi serta pembelajaran.

Dengan tema pakaian tidur atau ‘pyjama’, program berkenaan menyediakan persekitaran pembelajaran yang interaktif bagi menggalakkan murid meneroka dunia pembacaan, di samping memperkukuh kemahiran berbahasa mereka.

Antara pengisian utama ialah aktiviti bacaan beramai-ramai dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang memberi peluang kepada murid untuk melibatkan diri secara aktif, sekali gus menekankan kepentingan penguasaan kedua-dua bahasa dalam pembelajaran.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak oleh murid-murid prasekolah, sesi bercerita yang mengetengahkan kisah Raja Namrud yang Sombong dan Jong Batu, serta kuiz interaktif bagi menguji kefahaman dan pengetahuan murid berdasarkan cerita yang dipersembahkan.

Selain itu, tayangan video murid membaca bersama ibu bapa masing-masing turut menyerlahkan kepentingan sokongan keluarga dalam perkembangan literasi anak-anak.

Penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam aktiviti membaca di rumah merupakan antara usaha untuk membentuk tabiat membaca yang positif serta menyokong pembelajaran anak-anak secara berterusan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz, cenderahati penghargaan kepada peserta yang menghantar video bacaan, serta penghargaan kepada murid-murid prasekolah yang mengambil bahagian dalam persembahan deklamasi sajak.

Pengiktirafan juga diberikan bagi kategori hiasan kelas terbaik dan pakaian terbaik yang melibatkan murid-murid, ibu bapa serta guru-guru.

Penganjuran English Lit Up! SRBT Pyjama Day mencerminkan komitmen SRBT dalam menjadikan aktiviti literasi lebih bermakna, menarik dan dekat dengan kehidupan seharian murid.

Melalui gabungan aktiviti membaca, bercerita, pembelajaran interaktif dan penglibatan ibu bapa, program berkenaan diharap dapat meningkatkan keyakinan murid dalam pembacaan serta menyemai minat terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Inisiatif seumpama itu juga diharap dapat terus memupuk budaya membaca yang positif dan memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa dalam melahirkan murid yang yakin, berpengetahuan serta mempunyai minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat.