Reka bentuk Skim Perumahan Negara ditambah baik mengikut keperluan semasa

5 Og 2026 - 8:28am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dari aspek motivasi dan kesejahteraan keluarga, reka bentuk rumah di bawah Skim Perumahan Negara diambil kira untuk keperluan bagi memenuhi asas keperluan sebuah keluarga atau satu kelamin sekurang-kurangnya tiga bilik tidur.

Bagi keperluan privasi keselesaan, serta nilai-nilai kehidupan yang berkualiti, selaras dengan budaya di Negara Brunei Darussalam, satu bilik tidur utama telah disediakan bagi ibu bapa dan dua bilik tidur yang berasingan bagi anak lelaki dan anak perempuan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Majlis, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, penyediaan empat bilik tidur, termasuk satu bilik tidur di tingkat bawah dengan reka bentuk rumah ditambah baik mengikut keperluan keluarga yang semakin berkembang.

Dengan penambahbaikan ini jelas Yang Berhormat, ia untuk kesejahteraan warga tua dan orang yang mengalami masalah kesihatan atau ibu bapa yang tinggal bersama keluarga yang lebih fleksibel untuk memenuhi keperluan isi rumah pada masa ini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa setiap pembangunan Skim Perumahan Negara dilengkapi dengan kemudahan awam dan ruang komuniti seperti kawasan masjid, tapak masjid, sekolah dan ruang komersial iaitu kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang sukan, kawasan lapang serta kemudahan lain yang menyokong keperluan sosial dan kemasyarakatan setempat.

Sebagai contoh, di Kawasan Skim Perumahan Kampung Rimba dan Kampung Lambak dan di dalam kawasan-kawasan skim perumahan yang baharu juga seperti kawasan perumahan di Kampung Lugu, di mana tapak-tapak bagi pembinaan kemudahan-kemudahan awam dan keperluan-keperluan kemasyarakatan.

Di kawasan perumahan Kampung Lugu, pembinaan masjid sedang giat berjalan di atas tapak tanah yang telah disediakan untuk pembinaan masjid dan beberapa tapak telah disediakan bagi keperluan-keperluan yang lain termasuk bagi pusat bangunan-bangunan komersial.

“Di samping itu, Jabatan Kemajuan Perumahan juga membenarkan penggunaan tanah kerajaan di kawasan perumahan bagi penganjuran aktiviti oleh Majlis Perundingan Kampung seperti gerai jualan, sempena bulan Ramadan dan program-program kemasyarakatan yang bersesuaian.

“Penyediaan kemudahan dan ruang komuniti ini bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman yang kondusif bagi perkembangan kanak-kanak dan para belia serta menyokong kesejahteraan mental penduduk, menggalakkan interaksi sosial dan semangat kejiranan serta secara tidak langsung memperkukuh kestabilan institusi, keluarga dan masyarakat dalam pembentukan komuniti yang lebih sejahtera dan berdaya tahan,”  jelas Yang Berhormat.