Sebuah restoran dikompaun akibat meninggalkan bekas tin minyak

4 Nov 2026 - 4:11am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Pihak Penguatkuasaan dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) pada 20 Oktober lalu telah menjalankan tindakan mengenai kesalahan pembuangan sampah di tempat awam di bawah  Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12(1).

Sebuah syarikat, iaitu Sui Heng Restaurant dikenakan denda kompaun sebanyak BND1,000 di bawah Bab 12(1)(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), setelah didapati meninggalkan bekas tin-tin minyak perniagaan di belakang Bangunan Haji Muncit Kampung Jaya Setia, Berakas.

JB BSB ingin mengingatkan orang ramai, dan pengguna-pengguna letak kereta awam, bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) jika sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga bersama, dengan denda maksima, jika didapati sabit kesalahan, adalah sebanyak BND30,000, dihukum penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai disarankan supaya tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap, cecair dan sisa perniagaan di sebarang tempat awam.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan aduan atau berkongsi maklumat melalui nombor talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan +673 7291122.