AUN-UIE perluas peluang inovasi, pembangunan keusahawanan serantau

4 Nov 2026 - 5:00am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Selasa, 3 November. – Universiti-universiti pada masa ini bukan sahaja berperanan dalam memberikan pendidikan kepada para pelajar dan menghasilkan penyelidikan, malah turut dipertanggungjawabkan untuk menterjemahkan ilmu pengetahuan kepada penyelesaian praktikal, melahirkan bakat keusahawanan, mewujudkan peluang ekonomi serta memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Haji Masairol bin Haji Masri, semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7 ASEAN University Network – University Innovation and Enterprise (AUN-UIE) 2026 yang berlangsung di Dewan Laila Hasrat, Bangunan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD, pagi tadi.

Menurutnya, universiti-universiti di rantau ASEAN mempunyai kekuatan, pengalaman dan sumber yang berbeza, termasuk institusi yang telah mempunyai ekosistem inovasi dan pengkomersialan yang mantap serta institusi yang masih dalam proses membangunkan keupayaan masing-masing.

Walau bagaimanapun katanya, perbezaan berkenaan bukan satu kekangan, sebaliknya merupakan peluang untuk memperkukuh kerjasama dan mewujudkan potensi baharu melalui perkongsian kepakaran serta sumber antara universiti.

Beliau turut menekankan bahawa AUN-UIE menyediakan platform penting bagi merealisasikan kerjasama berkenaan, khususnya dalam memperluas peluang inovasi dan pembangunan keusahawanan di peringkat serantau.

Sejak Mesyuarat Agung Tahunan sebelumnya yang dihoskan oleh Singapore Management University di Republik Singapura katanya lagi, rangkaian berkenaan terus mencatatkan kemajuan melalui pelaksanaan tiga siri webinar yang membolehkan institusi-institusi peserta berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan pandangan dalam bidang inovasi serta pembangunan perusahaan universiti.

Hasil daripada perkongsian berkenaan jelasnya, tiga buah playbook telah dihasilkan, masing - masing merangkumi Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan (Technology Transfer and Commercialisation); Pembiayaan dan Pelaburan (Funding and Investment); serta Inkubasi dan Pembangunan Syarikat Pemula (Incubation and Startup Development).

Tambahnya, penerbitan ketiga-tiga playbook berkenaan merupakan satu pencapaian penting bagi AUN-UIE kerana menghimpunkan pengetahuan dan pengalaman kolektif universiti ahli ke dalam bahan rujukan praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh institusi pada pelbagai peringkat pembangunan ekosistem inovasi masing-masing.

Inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen rangkaian berkenaan untuk melangkaui perkongsian idea, seterusnya menghasilkan sumber dan panduan yang memberikan manfaat kepada semua universiti ahli.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian berkenaan, Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Perdagangan), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dr. Dayang Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan AUN-UIE 2026 oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis turut disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat dan seterusnya sesi bergambar ramai.

Pada sebelah petang pula, para peserta turut berpeluang membincangkan dengan lebih lanjut kandungan playbook berkenaan menerusi sesi pembentangan dan perbincangan kumpulan kecil yang dibahagikan kepada tiga bidang tematik.

Perbincangan berkenaan diharap dapat membantu menambah baik kandungan playbook berkenaan, di samping mengenal pasti peluang kerjasama praktikal yang boleh dilaksanakan bersama oleh universiti-universiti yang terlibat.