Taklimat ketengahkan kesedaran jenayah siber

4 Nov 2026 - 4:51am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan Taklimat Kesedaran Jenayah Siber kepada warga CAE Brunei MPTC Sdn. Bhd. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad.

Taklimat berkenaan memberikan pendedahan mengenai taktik penipuan dalam talian yang sering digunakan oleh penjenayah siber, termasuk penipuan menyamar sebagai pegawai kerajaan, penipuan jual beli dalam talian serta penipuan pinjaman dan pelaburan.

Penekanan turut diberikan kepada kesalahan menjadi keldai akaun, iaitu perbuatan memberikan, meminjamkan atau menyewakan akaun bank dan kad SIM kepada pihak ketiga untuk tujuan aktiviti jenayah.

Selain itu, para peserta turut diberikan penerangan mengenai Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 sebagai saluran rasmi untuk membuat pengesahan maklumat serta mendapatkan bantuan sekiranya menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan.

PPDB berharap agar taklimat tersebut dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga CAE Brunei MPTC Sdn. Bhd. mengenai ancaman jenayah siber, serta menggalakkan mereka untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.