Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Ihsan Sekolah Alif Sdn. Bhd., Cawangan Rimba
MATA-MATA, Isnin, 23 November. - Seramai 123 murid pra yang menamatkan peringkat tadika dan 15 murid Tahun 6 Sekolah Alif Sdn. Bhd., Cawangan Rimba baru-baru ini diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Haflah Takrim Sekolah Alif, Rimba ialah Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Dr. Dayang Siti Sara bin Awang Haji Ahmad.
Guru Besar Sekolah Rendah Alif, Rimba, Dayang Nuratikah Hani binti Haji Tarip dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan pencapaian cemerlang murid-murid sekolah berkenaan dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada tahun ini iaitu 100 peratus lulus keseluruhan dan ia merupakan pencapaian yang disandang selama tiga tahun berturut-turut.
Daripada peratus tersebut, katanya lagi, 60 peratus murid mendapat Gred A hingga B dan 93 peratus lagi mendapat Gred A hingga C.
Dayang Nuratikah Hani menjelaskan pencapaian tersebut merupakan hasil usaha gigih murid, dedikasi guru serta sokongan berterusan ibu bapa.
Pada majlis itu, penyampaian sijil-sijil disempurnakan bersama oleh tetamu kehormat dan Guru Besar Sekolah Alif, Rimba.
Juga disampaikan, hadiah murid-murid cemerlang (Tadika & Rendah), hadiah Tarbiyyah Terbaik (Tadika & Rendah), hadiah pelajar lulus Peperiksaan Pemilihan Calon Ke Sekolah Arab (PCKA), hadiah pelajar PSR dan hadiah penghargaan Guru-guru PSR.
Sekolah Alif Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan misi ‘Pendidikan holistik bagi melahirkan Generasi Robbani’ manakala visinya pula ialah ‘Generasi Robbani memakmurkan Negara Brunei Darussalam’.