Oleh : Aimi SaniFoto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah muncul johan pada Peringkat Akhir Pertandingan Menambang Syair Peringkat Sekolah Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Tahun 2026 yang berlangsung di Pentas Perayaan, berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, baru-baru ini.
Sementara itu, naib johan disandang oleh Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna pula berada tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad/Mohamat.
Pertandingan dianjurkan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Pertandingan anjuran Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan ini dibukakan kepada para pelajar sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan serta swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sebanyak 14 buah pasukan telah menyertai pertandingan tersebut diwakili oleh tiga orang pelajar. Daripada jumlah tersebut, lima buah pasukan berjaya mara ke peringkat akhir.
Antara objektif pertandingan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada irama tambangan syair tempatan. Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan mengembangkan bakat serta menggilap potensi para pelajar dalam seni penambangan dan penghayatan syair tradisi tempatan, khususnya dari segi memahami pemikiran serta perutusan tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Syair Nukilan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
Di samping itu, pertandingan ini diharap dapat menyemai minat generasi muda untuk terus menghargai dan memelihara warisan sastera serta budaya Melayu Brunei.