Semangat juang peserta jayakan Persembahan Khas

5 Og 2026 - 5:49am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

TEMBURONG, Selasa, 4 Ogos. -  Meskipun cuaca terik matahari memancar di langit Daerah Temburong, namun semangat rakyat dan penduduk di daerah berkenaan tidak pernah luntur untuk sama-sama hadir di Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan hari ini bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, di sini. 

Dalam pada itu, para peserta persembahan khas juga tidak ketinggalan dalam menyerlahkan semangat juang mereka dalam menggenggam satu amanah dalam sama-sama menjayakan Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Daerah Temburong pada tahun ini. 

Salah seorang penyanyi persembahan khas di majlis berkenaan, Dayang Hasberina binti Haji Asli semasa ditemu bual Pelita Brunei antaranya mengongsikan ia bagaikan satu peluang dan pengalaman yang amat berharga, lebih-lebih lagi ketika menatap wajah pemimpin negara yang berjiwa rakyat yang begitu dinanti-nantikan setiap tahun. 

"Alhamdulillah, perasaan itu pasti sukar diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya, namun diri ini amat berbesar hati kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi bagi sama-sama menjayakan persembahan khas di Daerah Temburong buat julung kalinya," kongsi penyanyi yang berusia 45 tahun itu. 

Beliau turut menambah, sebelumnya dirinya sudah pernah menyertai persembahan khas bagi majlis seumpama ini sebanyak empat kali di Daerah Brunei dan Muara. Meskipun bukanlah kali pertama mengikuti persembahan sebegini, namun hakikatnya setiap tahun itu sememangnya memiliki aura keindahan yang tersendiri. 

"Setiap bait-bait kata yang didendangkan itu memiliki makna betapa sayangnya kami semua kepada baginda dan itulah juga yang terlubuk dalam sanubari kami semua berbekalkan ketulusan doa yang dipanjatkan bersama-sama demi memohon Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan keberkatan umur dan kesihatan kepada pemimpin negara yang kita cintai dan juga kerabat-kerabat diraja yang lain serta rakyat dan penduduk tanah air kita sentiasa diberikan kedamaian dalam meniti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara," ujarnya lagi. 

Pada persembahan khas di majlis tahun ini, Dayang Hasberina telah digandingkan bersama tiga orang penyanyi tempatan yang lain yang terdiri daripada Dayang Nur Qistina Adriana binti Md. Yusirwan, Dayang Nordiyana binti Haji Moslim dan Awang Muhammad Syafiq bin Awang Musa. 

Sementara itu, Pelita Brunei turut berkesempatan menemu bual dua orang peserta yang sama-sama terlibat dalam menjayakan majlis tersebut yang menanai amanah sebagai juruacara sekali gus menjayakan persembahan khas yang terdiri daripada Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib dan Dayang Siti Izawati binti Abdul Majid. 

Awang Muhammad Iqbaal Syakib antaranya meluahkan perasaan terharu dan teruja kerana sekali lagi diamanahkan untuk menjadi pembuka acara dan persembahan. Ini merupakan kali kedua insan berusia 27 tahun ini terlibat dalam majlis sebegini dan pastinya akan menjadi memori yang indah dan akan dikenang. 

"Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk merupakan salah satu aturcara yang sering menjadi simpanan peribadi dan juga ristaan dari satu generasi ke generasi seterusnya bahkan ia bagaikan 'Tiada Tembok Pemisah Di Antara Raja Dan Rakyat', apabila baginda Sultan bercemar duli ke keempat-empat daerah, pada hemat saya ia menzahirkan keperibadian baginda yang memeduli rakyat jelata. Ungkapan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' itu cukup menggambarkan kewibawaan baginda Sultan yang berjiwa rakyat dan disanjungi sepanjang hayat," ujarnya.

Dayang Siti Izawati turut meluahkan perasaan penuh kesyukuran, terharu dan berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada majlis yang penuh bersejarah ini.

"Peluang membuat persembahan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja merupakan satu penghormatan yang amat besar dan akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan," ucapnya yang berusia 40 tahun.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi dirinya bersama rakan seperjuangan serta para peserta yang lain telah membuat persiapan dan latihan secara berterusan bagi memastikan persembahan berjalan lancar serta dapat dipersembahkan dengan sebaik mungkin. 

Dayang Siti Izawati yang mula berkecimpung dalam bidang seni penyampaian sejak berumur 20 tahun iaitu bermula sekitar tahun 2006 di mana sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menyertai pelbagai program dan persembahan yang banyak memberi pengalaman serta meningkatkan keyakinan diri. 

"Pastinya, dalam bidang seni penyampaian ini, persediaan saya melibatkan latihan yang konsisten, menghafal teks, memperbaiki intonasi suara, sebutan dan penghayatan. Selain itu, saya sentiasa berlatih membaca, mendapatkan pandangan daripada jurulatih serta menjaga keyakinan diri. Bagi saya, disiplin, kesungguhan dan latihan yang berterusan adalah kunci untuk meningkatkan mutu seni penyampaian," kongsinya lanjut. 

Dalam kesempatan ini, mereka dengan penuh takzim merafakkan sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan keafiatan, umur yang panjang, rahmat serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan terus memimpin Negara Brunei Darussalam ke arah keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!