Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BELAIT, Sabtu, 1 Ogos. - Suasana penuh meriah, harmoni dan semangat patriotisme menyelubungi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait apabila persembahan khas bertemakan 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang' berjaya mencuri tumpuan, sekali gus menggambarkan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan rakyat jelata.
Persembahan yang menjadi antara acara kemuncak majlis itu bukan sekadar hiburan, malah membawa mesej mendalam mengenai kesetiaan, kasih sayang serta perpaduan yang menjadi teras keharmonian Negara Brunei Darussalam. Gabungan persembahan tarian kontemporari, elemen lakonan dan nyanyian lagu tema berjaya menyemarakkan lagi suasana majlis yang berlangsung dalam penuh kemesraan.
Pengurus persembahan, Awang Mohammad Yussof bin Yaakub, menjelaskan bahawa konsep persembahan dirancang berdasarkan penelitian terhadap persembahan terdahulu bagi menghasilkan pembaharuan yang lebih segar. Beliau berkata, tema 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang' diterjemahkan melalui gerak tari yang melambangkan rakyat menyambut keberangkatan serta mendaulatkan raja yang dikasihi dan dihormati.
Menurutnya, persembahan itu turut mencerminkan semangat generasi belia Brunei yang proaktif, dinamik dan berwawasan, sekali gus menggambarkan penghargaan rakyat terhadap kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Walaupun tempoh persiapan kurang daripada tiga minggu, komitmen tinggi semua pihak membolehkan persembahan tersebut dipersembahkan dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Seramai 350 peserta terdiri daripada murid sekolah rendah, penuntut sekolah menengah kerajaan dan swasta serta pelajar institusi pengajian tinggi di Daerah Belait berganding bahu menjayakan persembahan istimewa berkenaan.
Tambahnya, setiap ekspresi dan pergerakan peserta mencerminkan kasih sayang serta kesetiaan rakyat kepada institusi beraja, di samping memperlihatkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang negara.
Keistimewaan persembahan itu turut diserikan dengan lagu tema 'Raja Terbilang, Rakyat Gemilang', hasil ciptaan komposer muda tempatan, Awang Nazmi Hilman, yang turut bertindak sebagai penulis lirik, penyusun muzik dan pemain keyboard.
Awang Nazmi Hilman berkata, karya tersebut dihasilkan bagi menterjemahkan tema majlis ke dalam sebuah lagu yang mudah dihayati oleh semua lapisan masyarakat, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan serta rasa syukur terhadap keamanan dan kemakmuran yang dinikmati Negara Brunei Darussalam.
Menurutnya lagi, keseluruhan proses menghasilkan lagu berkenaan, bermula daripada penulisan lirik sehingga penyusunan muzik, mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu dengan setiap bahagian diberikan penelitian yang rapi bagi memastikan mesej yang disampaikan benar-benar selari dengan aspirasi majlis.
Beliau turut menyifatkan peluang menyaksikan lagu ciptaannya dipersembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai satu penghormatan yang amat besar dan pengalaman yang sangat bermakna dalam perjalanan kerjayanya sebagai komposer.
Lagu tema tersebut disampaikan dengan penuh penghayatan oleh pasangan penyanyi Awang Muhammad Auf bin Haji Ismail dan Dayang Nur Syamimi binti Abd. Wahab.
Awang Muhammad Auf berkata, peluang menyampaikan lagu ciptaan khas itu Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan penghormatan terbesar sepanjang penglibatannya dalam bidang seni. Beliau menjelaskan bahawa latihan intensif telah dimulakan sejak bulan Jun bagi memperkukuhkan teknik vokal, keserasian persembahan duet dan penghayatan terhadap setiap bait lirik.
Sementara itu, Dayang Nur Syamimi menyifatkan pemilihannya sebagai penyanyi utama dalam persembahan tersebut sebagai satu penghargaan yang amat bermakna. Beliau berkata, setiap bait lirik membawa mesej kasih sayang, kesetiaan dan hubungan erat antara raja dan rakyat, justeru memerlukan penghayatan yang mendalam agar dapat disampaikan dengan penuh berkesan.
Persembahan khas itu bukan sahaja berjaya menghiburkan para hadirin, malah menjadi lambang kukuhnya ikatan kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan antara raja dan rakyat yang terus menjadi asas kepada keamanan, perpaduan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Sorakan gemuruh, tepukan para penonton serta penghayatan yang dipamerkan oleh para peserta sepanjang persembahan jelas mencerminkan rasa syukur dan bangga rakyat atas nikmat hidup dalam sebuah negara yang aman di bawah kepimpinan raja yang adil, prihatin dan berwawasan. Persembahan itu sekali gus menjadi manifestasi semangat kebersamaan yang terus menyatukan rakyat dengan institusi beraja demi kemajuan dan kesejahteraan negara.