Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. – Persembahan yang menggabungkan konsep pop tradisional dengan elemen kebudayaan pelbagai etnik serta sentuhan lagu-lagu popular Latin menjadi antara tarikan utama pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Bertemakan 'Menjunjung Raja Tampuk Negara', persembahan berkenaan bukan sahaja menampilkan keunikan seni dan budaya tempatan, malah menjadi lambang perpaduan serta kasih sayang rakyat terhadap raja yang memayungi negara.
Pengarah Persembahan, Awang Fathan bin Haji Anuar, menjelaskan bahawa persembahan pada tahun ini dibahagikan kepada tiga segmen yang menggambarkan kehidupan masyarakat di Daerah Brunei dan Muara (DBM), khususnya komuniti di kawasan darat dan Kampong Ayer yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang, budaya dan cara hidup.
"InsyaaAllah, lagu-lagu dan persembahan yang kami bawakan menggambarkan identiti masyarakat Brunei dan Muara serta semangat perpaduan yang menjadi kekuatan negara," jelasnya.
Menurutnya lagi, persembahan kali ini turut mencerminkan nilai keterangkuman apabila melibatkan penyertaan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bergandingan bersama artis-artis tempatan. Peserta OKU yang dipilih merupakan juara pertandingan nyanyian ‘OKU Got Talent’ yang pernah dinilai oleh pihak penyelaras persembahan.
Tambahnya, seramai lebih 250 peserta terdiri daripada penuntut sekolah menengah, golongan belia dan peserta OKU menjayakan persembahan berkenaan. Latihan intensif telah dijalankan selama lebih sebulan selepas semua peserta digabungkan, manakala perancangan awal bermula dua hingga tiga bulan lebih awal, termasuk penyelarasan latihan di sekolah-sekolah yang terlibat.
Awang Fathan berharap persembahan berkenaan bukan sahaja memberi impak positif kepada para penonton, malah dapat menyerlahkan imej DBM sebagai sebuah daerah yang dinamik, pesat membangun dan progresif, selaras dengan tema yang diketengahkan.
Sementara itu Ketua Jurulatih, Awang Mohamad Asyramisyanie bin Kamis, turut menzahirkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi peluang menyumbang bakti dalam persembahan berkenaan.
Menurutnya, peluang membuat persembahan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Selain rasa teruja, saya amat menghargai peluang ini kerana ia merupakan salah satu sumbangan kecil yang dapat saya berikan bagi menjayakan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat. Walaupun saya terlibat dalam persembahan seperti ini hampir setiap tahun, setiap edisi mempunyai elemen dan pendekatan yang berbeza, sekali gus memberikan pengalaman serta cabaran baharu," katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa Majlis Bersama Rakyat menjadi wadah penting yang menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, di samping memberikan peluang kepada rakyat menyampaikan sembah ucapan tahniah dan menzahirkan rasa kasih serta taat setia kepada baginda.
Manakala bagi penyanyi lagu tema 'Tampuk Negara', Dayang Yaniey Junaini menjelaskan penglibatannya dalam persembahan pentas Majlis Bersama Rakyat bermula sejak 2017.
Menurutnya lagi, lagu tema pada tahun ini menampilkan kelainan menerusi gabungan elemen dangdut, satu genre yang sinonim dengan kekuatan vokalnya.
Tambahnya, latihan telah dijalankan selama beberapa bulan sebelum semua peserta digabungkan dalam latihan berskala besar menjelang hari kemuncak.
Lebih mengharukan katanya lagi, persembahan tahun ini turut mengetengahkan bakat golongan OKU sebagai lambang bahawa setiap warga mempunyai ruang dan peluang untuk menyumbang kepada negara.
Sementara salah seorang peserta OKU, Awang Ezan Safree, mengakui pada mulanya beliau berasa terkejut apabila dipilih membuat persembahan di hadapan Kebawah DYMM. Namun, perasaan berkenaan bertukar menjadi rasa syukur kerana diberi peluang yang amat berharga sepanjang hidupnya.
Bagi memastikan persembahan yang terbaik, beliau mengikuti jadual latihan yang telah ditetapkan selain mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan penyanyi untuk terus memperbaiki mutu persembahan.
Dalam menghafal dan memahami lirik lagu pula, Awang Ezan Safree turut memanfaatkan aplikasi mudah alih yang membantunya menguasai setiap bait lagu dengan lebih berkesan.
Walaupun berdepan keterbatasan penglihatan, semangat beliau tidak pernah luntur. Sebaliknya, cabaran berkenaan menjadi pemangkin untuk memberikan persembahan terbaik sebagai tanda kasih, penghormatan dan penghargaan kepada raja yang sentiasa dekat di hati seluruh rakyat.
Persembahan Majlis Bersama Rakyat di DBM sekali lagi membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan yang menghubungkan raja dan rakyat, menyemarakkan semangat perpaduan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam meraikan pemimpin negara.
Melalui gabungan warisan budaya, bakat generasi muda dan penyertaan inklusif golongan OKU, persembahan berkenaan mencerminkan semangat sebuah negara yang bersatu, harmoni dan terus menjunjung institusi beraja sebagai tonggak kemakmuran Negara Brunei Darussalam.