Sistem perlindungan sosial lebih bersasar, responsif, berasaskan data

4 Og 2026 - 9:31am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Hala tuju kedua ialah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara supaya lebih bersasar, bersepadu, responsif dan berorientasikan pemerkasaan. 

Jaringan keselamatan sosial bukan sekadar mekanisme pemberian bantuan, tetapi merupakan satu pelaburan untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif, penyayang dan berdaya tahan. 

Manakala, matlamat utamanya adalah untuk membantu individu dan keluarga beralih daripada kebergantungan kepada kemandirian, dengan memberikan sokongan yang membolehkan mereka bangkit semula, berdikari dan menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing. 

Perkara itu digariskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, perkembangan geopolitik yang semakin tidak menentu memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial, khususnya apabila gangguan terhadap rantaian bekalan global mengakibatkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. 

Keadaan ini terangnya, memberi tekanan yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan isi rumah yang rentan, yang lazimnya mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap kejutan ekonomi. 

Sehubungan itu jelas Yang Berhormat, kita perlu terus memperkukuh ketahanan nasional melalui sistem perlindungan sosial yang lebih bersasar, responsif dan berasaskan data.

Bantuan hendaklah disalurkan mengikut tahap keperluan dan kerentanan setiap isi rumah agar golongan yang benar-benar memerlukan menerima sokongan yang sewajarnya. 

Pada masa yang sama, pendekatan ini memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara lebih cekap dan berkesan, di samping memelihara kemampanan fiskal negara bagi memenuhi keperluan generasi masa hadapan. 

Akhirnya, jaringan keselamatan sosial yang kukuh bukan sahaja berperanan mengurangkan kesan kejutan ekonomi global terhadap kehidupan rakyat, malah memperkukuh daya tahan masyarakat, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan, serta memastikan pembangunan negara terus berlangsung secara inklusif, mampan dan berdaya tahan, jelas Yang Berhormat lagi. 

Yang Berhormat menerangkan, berdasarkan data, penerima bantuan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 24 Julai 2026, seramai 22,274 orang yang menerima bantuan adalah terdiri daripada 17,428 penerima di bawah Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal iaitu JUZWAB dan 4,846 penerima melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). 

Daripada jumlah tersebut, 58 peratus merupakan mereka yang berumur 18 hingga 59 tahun; 28 peratus berumur di bawah 18 tahun; dan 14 peratus berumur 60 tahun ke atas. 

Dari segi pendidikan, 58.2 peratus iaitu 12,955 orang berkelulusan sekolah menengah; 27.5 peratus iaitu 6,125 orang tidak mempunyai kelulusan formal; dan 9.4 peratus (2,104 orang) berkelulusan sekolah rendah. 

Dari segi pekerjaan pula, 11,649 orang iaitu 52.3 peratus tidak mempunyai pekerjaan; 6,918 orang iaitu 31.1 peratus merupakan penuntut; dan 2,121 orang iaitu 9.5 peratus sedang bekerja. 

Data ini jelas Yang Berhormat, menunjukkan bahawa isu kebajikan tidak hanya berkait dengan pendapatan, tetapi turut dipengaruhi oleh tahap pendidikan, kebolehpasaran, status pekerjaan dan akses kepada peluang ekonomi. 

Oleh itu, pendekatan kebajikan yang dilaksanakan perlu lebih bersasar dan disesuaikan dengan keadaan serta keupayaan setiap individu dan keluarga. 

Selaras dengan pendekatan tersebut terangnya, jaringan keselamatan sosial hendaklah dibangunkan berasaskan tiga komponen utama, iaitu perlindungan, pemulihan dan pemerkasaan.

Perlindungan memastikan golongan yang memerlukan terus menerima bantuan serta akses kepada perkhidmatan asas bagi menjamin kelangsungan kehidupan masing-masing.

Pemulihan pula memberi tumpuan kepada usaha membantu individu dan keluarga mengatasi cabaran yang menjejaskan kesejahteraan, sekali gus memulihkan keupayaan mereka untuk kembali berfungsi secara produktif dalam masyarakat.

Manakala, Pemerkasaan pula menumpukan kepada pembangunan keupayaan melalui pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan sokongan komuniti, agar mereka berupaya meningkatkan taraf hidup, berdikari serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan secara berterusan apabila keadaan mengizinkan.

Dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perubahan sosioekonomi yang semakin mencabar ujar Yang Berhormat lagi, pendekatan ini penting bagi memastikan respons kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pemberian bantuan kewangan atau subsidi semata-mata, tetapi turut memperkukuhkan keupayaan rakyat menjana pendapatan, meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan isi rumah serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dalam jangka panjang.

“Sesebuah keluarga yang memerlukan bantuan kewangan mungkin turut berhadapan dengan masalah pekerjaan, pendidikan anak-anak, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan juga penjagaan ahli keluarga.

“Oleh itu, pendekatan pengurusan kes (‘case management’) yang lebih bersepadu perlu diperkukuhkan supaya setiap keluarga dinilai secara menyeluruh dan pelan intervensi dapat dirancang, diselaras dan dipantau secara kolektif antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan,” terangnya.

Pendekatan ini tambahnya lagi, bukan sahaja meningkatkan keberkesanan bantuan, malah turut mengelakkan pertindihan program dan memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara optimum.

Kejayaan dasar sosial tidak boleh diukur berdasarkan jumlah penerima bantuan semata-mata, tetapi sejauh mana mereka berjaya meningkatkan taraf hidup, memperoleh pekerjaan, memperkukuh pendapatan keluarga dan akhirnya mampu berdikari.

Inilah perubahan paradigma yang ingin kita bawa, iaitu daripada mengurus bantuan kepada mengurus keberhasilan, jelas Yang Berhormat.