Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Durahman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. – Kedutaan Besar Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan kerjasama Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Pejabat Kuala Lumpur; Kementerian Perdagangan Thailand; Pejabat Hal Ehwal Pertanian Jakarta serta Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Pejabat Kuala Lumpur, sekali lagi menganjurkan Bazar Thailand dan Minggu Kebudayaan Ke-10 (Thailand Bazaar and Cultural Week 2026 - TBCW2026) secara rasminya berlangsung bermula hari ini bagi kunjungan orang ramai sehingga 2 Ogos 2026 bertempat di OneCity Shopping Centre, di sini.
Justeru, majlis perasmiannya telah disempurnakan bersama oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke NBD, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon; dan pemilik OneCity Shopping Centre, Lau Soon Lin.
Pembukaan majlis turut diserikan dengan tayangan filem Thailand, iaitu 'Bad Genius' serta bengkel mini seni mempertahankan diri Muay Thai.
Terdahulu, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon dalam ucapannya antara lain berkata, penganjuran bazar berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Kedutaan Besar Diraja Thailand dan OneCity Shopping Centre sejak 2020, sekali gus menjadikannya antara acara tahunan yang paling dinanti-nantikan oleh orang ramai.
TYT seterusnya menjelaskan bahawa TBCW2026 menghimpunkan 60 buah reruai yang menawarkan pelbagai produk asli Thailand, termasuk makanan, minuman, pencuci mulut, snek, buah-buahan segar, produk pertanian, aksesori fesyen serta pakej pelancongan.
Penyertaan kata TYT lagi, melibatkan syarikat dan pengilang terkemuka dari Thailand, pengimport serta pengedar tempatan, selain usahawan Thailand dan restoran Thailand yang beroperasi di NBD.
Tambah TYT, turut mengambil bahagian ialah Ministry of Agriculture and Cooperatives, Thailand dan The Queen Sirikit Department of Sericulture yang mempamerkan koleksi sutera tradisional Thailand, manakala Pejabat Hal Ehwal Pertanian dari Jakarta memperkenalkan hasil pertanian serta buah-buahan segar Thailand melalui kerjasama dengan pengimport tempatan.
Menurut TYT lagi, bazar berkenaan bukan sekadar platform perdagangan, malah berperanan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara Thailand dan NBD melalui pelbagai aktiviti kebudayaan yang menarik.
TYT turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, syarikat dan peniaga yang menjayakan penganjuran TBCW2026, serta mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk meneroka pelbagai keunikan produk, makanan dan budaya Thailand bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sepanjang lima hari penganjuran, pengunjung berpeluang mengikuti Bengkel Interaktif Muay Thai yang dikendalikan oleh Chainblock Muay Thai and Training Camp. Bengkel yang terbuka kepada peserta berusia tujuh tahun ke atas berkenaan memberi peluang kepada orang ramai mempelajari asas seni mempertahankan diri tradisional Thailand yang menggabungkan penggunaan tangan, kaki, lutut dan siku.
Selain itu, para pengunjung juga boleh menikmati tayangan percuma filem terkenal Thailand iaitu 'Bad Genius', yang merupakan sebuah filem ‘thriller’ yang mencatat kutipan tertinggi di Thailand pada 2017 serta memenangi pelbagai anugerah antarabangsa termasuk Anugerah Filem Kebangsaan Suphannahong dan Festival Filem Asia New York.
Bukan itu sahaja, pameran pakaian kebangsaan Thailand, Chud Thai bersama reruai fotografi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) membolehkan pengunjung mencuba secara maya lapan rekaan ikonik pakaian tradisional Thailand yang diperkenalkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Ratu Sirikit, Permaisuri Thailand, sebagai usaha memelihara warisan budaya negara berkenaan.
Di reruai Kedutaan Besar Diraja Thailand pula, pengunjung boleh menikmati juadah tradisional Thailand di samping menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan yang menawarkan hadiah menarik.
Sepanjang bazar berlangsung, para pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai promosi eksklusif serta pelancaran produk baharu daripada para peserta pameran.
TBCW2026 dijangka terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya antara Thailand dan NBD, di samping menawarkan pengalaman unik kepada para pengunjung melalui gabungan cita rasa, warisan dan tradisi Thailand di bawah satu bumbung.