Siaran Akhbar dan Foto : Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. - Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan Lawatan Kerja ke ladang Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak yang terletak di Lot G, Simpang 31, Jalan Lampaki, Kampung Mulaut, sebagai sebahagian daripada usaha meninjau potensi kerjasama strategik dan peluang pembangunan dalam sektor agromakanan, khususnya dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Lawatan berkenaan diketuai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI.
Turut menyertai rombongan, Pemangku Setiausaha MUIB, Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu; Pengarah BTHMUI, Awang Mohammad Hamita bin Haji Md. Taib; serta para pegawai kanan dan pegawai BTHMUI.
Lawatan Kerja berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BTHMUI dalam meneroka sektor-sektor strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan mandatnya untuk membangun, mengurus dan memajukan aset serta pelaburan MUI.
Sektor agromakanan merupakan antara bidang yang diberi perhatian memandangkan peranannya dalam memperkukuh pengeluaran makanan tempatan, meningkatkan rantaian bekalan domestik serta menyokong usaha mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan import.
Atur cara lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah BTHMUI, yang antara lain merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak atas kesudian menerima kunjungan rombongan BTHMUI serta berkongsi perkembangan, pengalaman dan kepakaran syarikat dalam industri penternakan dan pemprosesan makanan halal.
Beliau menjelaskan bahawa lawatan berkenaan memberi peluang kepada BTHMUI untuk memahami dengan lebih dekat model operasi syarikat tempatan yang berpotensi, di samping menilai ruang kerjasama yang boleh diterokai dalam bidang berkaitan keterjaminan makanan, industri halal dan pembangunan rantaian nilai makanan tempatan.
Awang Mohammad Hamita turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian syarikat sebagai antara perusahaan tempatan yang berjaya mengintegrasikan aktiviti penternakan, pemprosesan dan pengedaran produk makanan halal melalui penggunaan teknologi moden serta amalan terbaik industri.
Tambahnya lagi, keupayaan syarikat memenuhi permintaan pasaran, termasuk pembekalan daging bagi ibadah korban dan akikah serta korban peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mencerminkan komitmen syarikat dalam menghasilkan produk halal yang berkualiti tinggi.
Majlis diteruskan dengan sesi taklimat oleh pihak Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak mengenai sejarah penubuhan syarikat, model perniagaan, operasi semasa serta perancangan pengembangan pada masa akan datang.
Taklimat berkenaan turut memberikan gambaran mengenai pendekatan syarikat dalam menguruskan aktiviti penternakan, penggunaan teknologi, kawalan kualiti serta pembangunan rantaian nilai produk makanan halal.
Seterusnya, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan telah berkesempatan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak syarikat kepada empat pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang sedang mengikuti program latihan industri di Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak.
Penyampaian sijil berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi para pelajar sepanjang menjalani latihan industri, di samping mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan modal insan serta pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri.
Rombongan kemudiannya dibawa meninjau kemudahan operasi syarikat termasuk kawasan penternakan ‘feedlot’ serta menyaksikan demonstrasi proses penyembelihan seekor ternakan sebagai sebahagian daripada penerangan mengenai pengurusan operasi dan pemprosesan produk halal. Lawatan diteruskan ke kemudahan kedai daging (butcher shop) bagi melihat aspek penyediaan dan pengedaran produk kepada pengguna.
Lawatan berkenaan turut menjadi platform pertukaran pandangan mengenai cabaran industri, perkembangan sektor agromakanan, penggunaan teknologi serta prospek pembangunan industri halal tempatan. Perbincangan berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada penerokaan kerjasama yang berpotensi antara BTHMUI dan pihak syarikat pada masa hadapan.
Melalui Lawatan Kerja berkenaan, BTHMUI berharap dapat memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh mengenai potensi sektor agromakanan serta mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berdaya maju, termasuk pembangunan industri halal, perkongsian kepakaran dan peluang pelaburan yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, pengukuhan aset dan pelaburan serta pembangunan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam secara mampan.