Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BELAIT, Sabtu, 1 Ogos. - Suasana penuh kemeriahan dan semangat patriotik memenuhi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun. Majlis tersebut bukan sahaja menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah menjadi lambang kukuhnya hubungan erat antara raja dan rakyat.
Golongan belia dan penuntut sekolah turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan majlis. Awang Muhammad Khairul Amirin bin Muhammad Muizzuddin dari Tahun 10D dan Awang Syazwan bin Adam dari Tahun 9C, kedua-duanya penuntut di Maktab Anthony Abell, Seria, menzahirkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai majlis berkenaan.
Menurut mereka, peluang menyaksikan sendiri keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta menjadi sebahagian daripada sambutan bersejarah itu merupakan pengalaman yang amat bermakna dan sukar dilupakan. Sebagai generasi muda, mereka menghargai peluang tersebut kerana dapat memupuk semangat cintakan raja dan negara.
Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar merangkap guru Pendidikan Jasmani, Maktab Anthony Abell, Awang Abdul Hakim bin Haji Ahmad, menjelaskan bahawa penyertaan para penuntut dalam majlis berkenaan bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping memupuk nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).
Beliau berkata, penglibatan secara langsung dalam majlis kenegaraan seperti itu memberikan pengalaman pembelajaran yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik darjah, sekali gus membentuk jati diri, semangat patriotisme dan rasa kasih terhadap institusi beraja.
Selain mengambil bahagian dalam pengibaran bendera kecil, para penuntut Maktab Anthony Abell turut menyertai persembahan koir. Secara keseluruhannya, kira-kira 250 orang penuntut dari Tahun 7 hingga Tahun 11 terlibat dalam pelbagai pengisian majlis.
Turut berkongsi kegembiraan ialah Dayang Nurizah binti Abdullah, 63 tahun, dari Kampung Pandan 8, yang berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk setiap kali diadakan.
Beliau yang hadir bersama ahli keluarganya mengakui amat teruja apabila berpeluang melihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli bersama rakyat.
"Saya sentiasa mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa dirahmati Allah Subhanahu Wata'ala, dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan serta terus diberikan kekuatan untuk memimpin negara dan seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam," ujarnya.
Bagi Awang Haji Mohamad Shah Rizal bin Haji Abu Bakar pula, majlis berkenaan menjadi platform terbaik bagi rakyat melahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap kepimpinan Kebawah DYMM yang sentiasa mengutamakan kemajuan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, baginda merupakan raja yang amat disayangi oleh seluruh lapisan masyarakat, justeru majlis seperti ini sentiasa dinanti-nantikan kerana memberi peluang kepada rakyat untuk melihat baginda dari dekat serta menyampaikan sembah ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan baginda.
Sebagai Ahli Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat, beliau turut terlibat mempersembahkan paluan gendang tradisional puak Dusun bagi menyambut keberangkatan Kebawah DYMM.
Katanya, pelbagai irama tradisional dimainkan sepanjang majlis, antaranya lagu 'Raja Lalu' sebagai simbol mengalu-alukan keberangkatan baginda ke daerah tersebut, selain lagu 'Takinjol', 'Ibang-Ibang', 'Gendang Parang' dan beberapa lagi rentak tradisional yang menambahkan kemeriahan suasana.
Beliau turut bersyukur atas pelbagai pembangunan yang telah dinikmati oleh penduduk Kampung Bukit Sawat hasil keprihatinan kerajaan di bawah kepimpinan Kebawah DYMM, yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat di seluruh negara, khususnya di Daerah Belait.
Sementara itu, seorang guru Sekolah Menengah Chung Hwa Kuala Belait yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Melayu Islam Beraja, Awang Muhammad Adi Amni bin Morni berpendapat bahawa penyertaan generasi muda dalam majlis seumpama ini amat signifikan dalam memupuk rasa cinta kepada raja dan negara.
Menurutnya, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk memperlihatkan sifat Kebawah DYMM yang sentiasa dekat dengan rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Beliau berkata, layanan mesra baginda terhadap para peserta, termasuk bersalaman dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang terlibat dalam persembahan pentas, jelas mencerminkan sifat pemedulian dan kasih sayang seorang raja terhadap rakyatnya.
Katanya lagi, detik-detik tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara raja dan rakyat, malah menyemarakkan lagi semangat untuk terus mendaulatkan institusi beraja serta mengekalkan warisan MIB yang menjadi tunjang keharmonian Negara Brunei Darussalam.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk menjadi wadah dan bukti bahawa hubungan antara Kebawah DYMM dan rakyat bukan sekadar berteraskan pemerintahan, malah diperkukuhkan dengan kasih sayang, kepercayaan serta penghormatan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.